Rabu, 29 Ogos 2018 | 12:39pm
GUA Sireh atau Gua Dalam Wang yang sudah terganggu akibat dariapda aktiviti mengambil baja tahi kelawar.
KUALA LUMPUR 24 OGOS 2018. Gua Sireh atau Gua Dalam Wang yang sudah terganggu akibat dariapda aktiviti mengambil baja tahi kelawar. NSTP/EMAIL

Baling sudah didiami seawal 17,000 tahun

KUALA LUMPUR: Tinggalan cara hidup prasejarah yang masih wujud terutamanya di dinding luar Gua Sireh atau Gua Telok Wang di Gunung Pulai, Baling, menunjukkan masyarakat terawal sudah mendiami kawasan berkenaan antara 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu.

Penemuan tinggalan itu yang dikenali juga sebagai lapisan kebudayaan sangat penting, selepas lapisan kebudayaan terdahulu yang dikesan di tapak sama musnah akibat aktiviti manusia.

PROF Madya Dr Zuliskandar Ramli

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli, berkata pihaknya berjaya menemui artifak, ekofak (tinggalan arkeologi bukan hasil karya manusia) dan deposit tanah (lapisan tanah yang wujud di dalam gua) yang sudah tersedimen (mendap) dengan batu kapur di kawasan itu.

“Pentarikhan mutlak daripada sampel siput pada lapisan dinding kebudayaan terakhir menunjukkan masyarakat terawal mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Bukit Baling, yang wujud bersebelahan antara satu sama lain, kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu,” katanya kepada BH di sini.

Temui tulang haiwan

Zuliskandar berkata, selain sisa makanan daripada spesies siput sungai, turut ditemui dalam kajian arkeologi yang mendapat kerjasama pengkaji dari Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, ialah tulang haiwan lain dipercayai tulang babi hutan, monyet, rusa dan burung.

“Turut ditemui pada dinding lapisan kebudayaan setebal lebih tiga meter itu ialah alat litik, termasuk kapak genggam Haobinhian, alat batu pengetuk, alat batu giling dan batu landas.

“Pemeriksaan permukaan juga menemukan tulang dipercayai tulang manusia dan kami percaya gua ini juga digunakan sebagai salah satu tapak pengebumian masyarakat prasejarah di kawasan Baling,” katanya.

Zuliskandar berkata, selain Gua Sireh, terdapat banyak gua dan batu kukup yang menyimpan pelbagai bukti wujudnya aktiviti masyarakat prasejarah dalam bentuk artifak, ekofak dan fitur.

Katanya, kajian pertama di kawasan itu dimulakan HD Collings sekitar 1930-an dengan menumpukan kepada Gua Debu dan Gua Kelawar di Bukit Baling.

Colling pada ketika itu, kata Zuliskandar, menemukan pelbagai penemuan artifak, termasuk alat repeh, kapak genggam Hoabinhian, batu giling bersama batu pelandas, mineral hematit dan juga sisa makanan siput sungai serta tulang haiwan.

“Penyelidikan arkeologi kami di Gua Tok Sik, Gunung Pulai turut menemukan kami dengan penemuan ratusan serpihan tembikar tanah zaman Neolitik dan tembikar ini antaranya ada mempunyai corak hiasan.

“Berdasarkan kesan lapisan abu pada kebudayaan dan analisis saintifik tembikar tanah ini, menunjukkan tembikar tanah sudah digunakan masyarakat prasejarah sebagai perkakasan memasak dan menyimpan makanan sekitar 3,000 tahun yang lalu,” katanya.

Tarik minat pencinta sejarah

Beliau berkata, keberadaan gua batu kapur di daerah Baling ini seharusnya menjadi daya penarik kepada mereka yang mencintai sejarah dan juga alam sekitar.

“Gua ini boleh dieksploitasi sebagai produk arkeopelancongan di Baling, di samping produk eko-pelancongan yang sudah mempunyai daya penarik tersendiri.

“Segala aktiviti menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan tapak prasejarah ini harus dihentikan.

“Aspek arkeopelancongan dan ekopelancongan di Baling seharusnya diperkasakan kerajaan negeri yang aktiviti ini secara tidak langsung menjana pendapat ekonomi setempat,” katanya.

Berita Harian X