Selasa, 11 September 2018 | 5:15pm
PUISI karya sasterawan Indonesia, Sapardi Djoko Damono.

Belajar makna merdeka puisi Sapardi

OGOS bulan luar biasa apabila tiga negara Nusantara meraikan Hari Kebangsaan masing-masing. Bermula Singapura pada 9 dan Indonesia (17), manakala Malaysia menutupnya pada 31 Ogos.

Pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-61 peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia UKM), Pendaftarnya, Abd Razak Hussin, membaca puisi Kemerdekaan Itu karya sasterawan Indonesia, Sapardi Djoko Damono.

Mengapa puisi itu dipilih? Saya fikir kerana baris makna penyairnya pintar dengan mafhum kemerdekaan, iaitu sebahagian besar dengan nada berbahagi semangat kemerdekaan Nusantara untuk kita saling belajar.

Sapardi mengambil beberapa figura beraneka dari lantai masyarakat yang dilihat. Memanfaatkan langgam naratif tipis, Sapardi memerihalkan setiapnya, lantas memaknakan hubungan setiap figura dengan kemerdekaan. Ternyata setiap figura ialah ‘kemerdekaan.’

Watak anak sebagai rakyat

Daripada pemerihalan itu, disaring sifat, sikap dan teladan yang menggenapkan makna merdeka. Sapardi memilih watak anak bermain layang-layang, guru, perempuan dan lelaki di perbukitan teh, tukang kebun, nelayan, pramugari, orang muda bersepatu serta sepasang datuk nenek. Mereka semua ialah ‘kemerdekaan.’

Sapardi memulakan rangkap puisi dengan watak anak bermain layang-layang pada musim kemarau. Anak sebagai rakyat ‘asas’ yang naif terhadap pertumbuhan dan pertelingkahan di sesebuah negara merdeka.

Anak-anak kita yang pada musim kemarau bermain layang-layang
Menarik, mengulur dan mengadunnya tanpa memasalahkan kenapa harus ada yang putus

Tanpa memperhatikan awan-awan yang suka berarak nun jauh di sana.

Dan tak pernah terlintas dalam benak mereka untuk bertanya
Apakah langit yang merupakan kerajaan layang-layang mereka itu ada batasnya.

Kepolosan mereka terhadap sebarang sengketa mungkin sahaja dianggap ‘kemerdekaan.’ Betapa bebasnya kehidupan tanpa peduli kering atau bahang cuaca dan sebarang masalah ketika ‘layang-layang putus.’ Benar, kanak-kanak hampir tidak hirau dengan harapan yang tidak terpenuhkan, meskipun nanti mungkin berubah menjadi salur sublimasi.

Bagi tujuan itu, anak memerlukan guru. Bukankah selama ini dengan pendidikan, kita sepatutnya lebih pintar dalam menimbangkan apa sedang dilalui dengan ajaran sejarah dan kemudian bagaimana kita dilatih mencipta nasib negara keesokannya. Maka bukankah dengan ruang berguru, kita menjadi rakyat merdeka. Kita diasuh menjadi saksama ketika berdiri di tikungan yang renyah. ‘Guru’ menjadi rangkap kedua puisi ini.

Sapardi turut mengambil watak perempuan dan lelaki di perkebunan teh. Mereka menerima nikmat cahaya matahari sebagai suatu yang alamiah di bukit itu. Saya cuba memasuki daerah jiwa mereka dalam rangkap ini, iaitu menerima nikmat sebegitu saat tidak memiliki apa-apa. Bukankah ada nyaman yang menyelinap dalam dada, rasa yang indah. Bukankah ini juga rasa merdeka?

Peranan rakyat merdeka

Persis di perbukitan teh, tukang kebun bertanggungjawab. Dia memastikan tumbuhan mendapat air dan ternyata ia tamsilan peranan rakyat merdeka untuk memastikan negara sejahtera daripada segala bentuk ‘kekotoran.’ Begitulah tuntutan sebagai manusia yang mahukan negaranya dimuliakan di mana-mana juga. Negara merdeka harus ‘bersih’ dan dirapikan dalam banyak suasana.

Sapardi mempertemukan tiap juzuk ufuk tanah, lautan dan udara. Beliau melihat kedudukan nelayan yang harus sering waspada sebarang gangguan saat mendapatkan ikan. Ini antara kesediaan dalam tanah air merdeka, iaitu keselamatan yang bukan hanya bersifat fizikal tetapi kehormatan bangsa perlu dipertahankan.

Kedudukan kemerdekaan mesti dijaga selayaknya pramugari yang sering memastikan keselamatan penumpang. Rakyat tanah merdeka perlu selalu terlatih jiwanya untuk bersedia dalam apa juga rupa dan sosok keadaan untuk sebuah ketamadunan.

Sapardi menyaring watak generasi pertengahan diwakili segerombolan orang muda bersepatu. Ada semacam harapan Sapardi agar kita lebih hati-hati menjalani kemerdekaan, iaitu tidak hilang akibat pemodenan atau terburu-buru menuju matlamat melestarikan kerajaan mandiri.

Seperti plot yang akur garis masa, Sapardi mengakhiri peragaan wataknya dengan sepasang ‘oma opa.’ Memaknakan merdeka menurut penyair ialah kesediaan menerima pelbagai ujian yang dihantar media terkini ‘saat negara menjadi tua’ dan dipaksa terus menyedut udara metropolitan dan pelbagai kerumitan lain dalam mengekalkan martabat bangsa.

Sapardi merumuskan kemerdekaan adalah segala-galanya, merentas siapa kita dan membelah harkat kehidupan yang sering dibina serta dicipta manusia sendiri. Walaupun Kemerdekaan Itu puisi dari negara jiran yang warna benderanya merah putih, kita belajar daripada pengalaman dan sejarah mereka.

Penulis adalah Ketua Editor, Jurnal Melayu, Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X