Selasa, 23 Oktober 2018 | 7:07am
GAMBAR fail, orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) . - Foto Surianie Mohd Hanif

Bajet 2019 diharap sokong industri buku

Pengumuman bajet kerajaan sejak beberapa tahun ini, sering dianggap tidak ‘menyebelahi’ industri buku seperti Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M) pada tahun lalu bagi menggantikan pemberian baucar buku yang dimulakan pada 2012.

Meskipun kerajaan terdahulu mungkin ‘tidak sengaja’ melelapkan mata mereka terhadap situasi perbukuan negara, pengenalan KADS1M bagi menggantikan Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) memberi impak kepada banyak pihak.

Justeru, pengenalan KADS1M yang turut diperluaskan kepada pembelian barangan gaya hidup yang lain, menyebabkan jualan buku merosot akibat galakan membeli bahan bacaan yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, lebih penting ia juga menyebabkan tabiat membaca semakin menurun yang tentunya bukan sesuatu yang baik, terutama ketika Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendudukan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Oleh itu, selepas beberapa tahun dirundung kekecewaan, industri buku mengharapkan pengumuman Bajet 2019 dalam fasa pemerintahan kerajaan baharu ini akan membawa sesuatu yang lebih baik terhadap perjuangan pemain buku di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin, menaruh harapan supaya pembentangan Bajet 2019 akan menyaksikan pemberian BB1M dikembalikan sebagai antara usaha menyokong pelaksanaan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia, dua tahun lagi.

“Keadaan ekonomi kini tidak begitu baik. Sekiranya wujud bantuan melalui mekanisme BB1M, pelajar mempunyai galakan dan peruntukan untuk membeli buku yang mereka suka.

“Ini tentunya sebahagian daripada gerakan yang baik untuk menyebarluas aktiviti membaca dalam kalangan pelajar.

“Dalam hal penerbitan, kami memang tidak hanya menumpukan segmen pelajar kerana turut memiliki bahan bacaan berasaskan keluarga tetapi kehilangan segmen masyarakat ini selepas ketiadaan BB1M tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada penerbit,” katanya.

Menurut Firdaus sebagai penerbit, beliau melihat pembaca kini banyak memberi perhatian kepada jualan buku pada harga murah melalui jualan gudang.

Bagaimanapun katanya, hal itu bukan sesuatu yang baik, terutama kepada penulis yang ramai kecewa melihat buku mereka dijual pada harga sangat rendah selepas bertungkus-lumus menyiapkannya.

Bagaimanapun, Firdaus percaya pengumuman Bajet 2019, akan memberi sedikit cahaya kepada industri buku, terutama melihatkan sokongan diberikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kepada industri itu.

“Beliau seorang pencinta buku jadi saya rasa beliau tahu pentingnya ilmu dan usaha ke arah meningkatkan industri ini,” katanya.

Perbanyak anjur acara besar

Sementara itu, Pengasas Rumah Ripta, Mosyuki Borhan pula berharap kerajaan hari ini bersikap lebih terbuka terhadap industri buku dengan menyalurkan pelbagai insentif yang baik demi kemajuan sastera dan budaya di negara ini.

Meskipun mengakui pentingnya peranan BB1M apabila mengukur jurang jualan Rumah Ripta ketika menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 2016 dan 2017, beliau beranggapan adalah lebih utama memperbanyakkan penganjuran acara besar untuk industri buku.

“Ada antara penerbit buku menunggu penganjuran PBAKL dan selepas itu tidak ada acara besar lain yang boleh mereka sertai.

“Mengapa tidak kerajaan menyuntik lebih banyak dana supaya negara dapat menganjurkan lebih banyak acara perbukuan dalam skala besar?

“Selain memanfaatkan penerbit buku, ini tentunya menjadi ruang bagi mempromosi budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini, terutama menjelang Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia, dua tahun lagi,” katanya.

Mosyuki juga berhasrat melihat pemberian dana atau insentif buat penerbit yang mengambil usaha membawa penerbitan mereka ke dalam acara pesta buku antarabangsa di luar negara.

“Rumah Ripta sendiri gembira dengan peluang diperoleh untuk menyertai acara perbukuan di Indonesia baru-baru ini, tetapi penyertaan dalam acara sebegitu memerlukan kos tinggi.

“Sebagai penerbitan berskala kecil, ia bukannya sesuatu yang mudah dan tentunya bagus jika kerajaan boleh memberi perhatian kepada usaha pendanaan sebegini,” katanya.

Sebagai perbandingan, penerbit negara jiran di Indonesia misalnya didukung sepenuhnya kerajaan yang memberi dana bagi membolehkan penerbitnya aktif ke pelbagai pesta buku di luar negara.

Laksana kempen membaca secara konkrit

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, berkata kerajaan perlu memastikan semangat Malaysia Baharu bergerak berlandaskan masyarakat yang berilmu dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, jika kerajaan hari ini masih berfikiran seperti kerajaan terdahulu maka Malaysia akan semakin kendur dan tertinggal di belakang berbanding negara jiran dalam usaha membangunkan modal insan dan rakyat yang membaca.

“Tiga tahun kebelakangan ini industri buku terjejas teruk berikutan dasar kerajaan yang tidak memesrai pembangunan ilmu, kandungan dan buku.

“Justeru, industri buku meminta kerajaan mengangkat serius pembangunan kandungan kreatif dan buku supaya ia dapat menjadi sumber baharu kekayaan negara menjelang lima tahun lagi,” katanya.

Menurut Ishak, bersempena pengumuman Bajet 2019 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 November ini, MABOPA mengusulkan beberapa cadangan yang dilihat dapat membawa kesan positif kepada industri buku.

“Ini termasuk meminta kerajaan melaksanakan kempen membaca secara konkrit dengan pelaburan terhadap kempen kepada semua pusat sumber di pelbagai kementerian.

“Kami juga meminta supaya pelajar diberi insentif pendidikan di universiti membabitkan pemberian baucar buku sebanyak RM150 dan bantuan sara hidup dengan jumlah yang sama.

“Pemberian baucar buku itu perlu dilakukan dalam mekanisme e-Wallet dan hanya boleh ditebus bagi pembelian buku sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ingin melihat insentif pelepasan cukai khas kepada individu RM1,500 untuk membeli buku dan RM50,000 kepada syarikat korporat yang membeli buku untuk sumbangan,” katanya.

INFO: Saranan MABOPA sempena Bajet 2019

  • Kerajaan perlu memberi dana secukupnya sebagai pembiayaan membeli buku kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan perpustakaan lain.
  • Melakukan pembangunan kandungan kreatif dan buku untuk tujuan eksport dan pelesenan.
  • Dana khas untuk penyertaan negara ke pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt, Bologna, London dan Beijing.
  • Sokongan pesta buku tempatan khasnya PBAKL dengan dana khas RM1 juta setahun.
  • Dana khas untuk pembangunan kandungan supaya Malaysia menjadi pengeluar.
  • Berita Harian X