Khamis, 25 Oktober 2018 | 5:27pm
Mohd Khair Ngadiron (tiga kanan) bersama penulis Malaysia pada sidang media Himpunan Penulis Malaysia yang bakal diadakan pada 16 november 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Owee Ah Chun
Mohd Khair Ngadiron (tiga kanan) bersama penulis Malaysia pada sidang media Himpunan Penulis Malaysia yang bakal diadakan pada 16 november 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Owee Ah Chun

Himpunan Penulis Malaysia akan pertemukan menteri, sasterawan

KUALA LUMPUR: Himpunan Penulis Malaysia (HPM) yang bakal berlangsung pada 16 November ini, menjadi medan terbaik kepada penulis untuk menyuarakan pandangan bagi memastikan agenda persuratan diberi perhatian lebih menyeluruh oleh kerajaan.

Pengerusi Bersama HPM, Mohd Khair Ngadiron, berkata ini kerana Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, akan menyertainya pada acara yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Mohd Khair berkata, Menteri Pendidikan dijadualkan terbabit dalam satu dialog awam bersama persatuan penulis pada sebelah petang himpunan sehari itu.

Beliau berkata, penganjuran HPM itu menjadi dimensi baharu, sekali gus diharapkan berupaya membawa lebih banyak kebaikan kepada industri buku tanah air.

“Ini kali pertama kita menyaksikan inisiatif daripada seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengarang dan penulisan untuk mengadakan pertemuan dengan penulis dalam acara terbuka.

“Kami merasakan terdapat kejujuran tinggi di peringkat kementerian untuk mendengar suara penulis dan saya positif pendekatan baharu ini akan membawa kesan baik buat industri buku negara.

“Penulis tanah air perlu mengambil ruang di atas dasar keterbukaan kerajaan ini untuk menyampaikan cadangan dan saranan supaya bidang persuratan ini dapat dipertingkatkan, sekali gus diambil berat demi peradaban negara,” katanya pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersama HPM merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Pemangku Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Sementara itu, Sayed Munawar berkata, penganjuran HPM juga akan menyaksikan pelancaran Portal Penulis Malaysia yang akan menjadi gerbang maklumat bagi data penulis tanah air.

“Pembangunan pangkalan data penulis oleh PKB itu, dilakukan bagi memperkasa industri penulisan dan buku, selain memberi manfaat besar terutama dalam perundingan hak cipta serta usaha mempromosikan penulis pada peringkat antarabangsa,” katanya.

HPM yang bertemakan Persuratan dan Peradaban: Jalan ke Hadapan, dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama UKM, DBP, ITBM, PKB dan PENA.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Baharuddin Zainal akan menyampaikan ucaptama pada himpunan yang turut disertai SN, iaitu Datuk Seri A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Berita Harian X