Selasa, 30 Oktober 2018 | 4:23pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar. - Foto Aziah Azmee

Suntikan dana dapat selamatkan industri buku

KUALA LUMPUR: Industri buku tanah air memerlukan sokongan dana kerajaan bukan saja memastikannya mampu bertahan dalam ekonomi buku yang tidak memberangsangkan, bahkan menjadikan pemainnya dapat keluar daripada kepompong sedia ada.

Suntikan daripada kerajaan itu berupaya menjadikan penerbit buku yang rata-ratanya bertaraf industri kecil sederhana (IKS), lebih berdaya saing dan dapat meneroka pasaran lebih besar termasuk peringkat serantau dan antarabangsa.

Malah, sokongan dalam bentuk material sangat penting untuk memastikan usaha pelaksanaan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia (WBC) 2020 yang berada di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berjalan dengan sempurna.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, berkata pasaran buku ketika ini menguncup disebabkan pelbagai faktor dan menyaksikan berlakunya trend penyesuaian apabila kedai buku mula menjual barangan selain produk utama mereka untuk mengimbangi kemerosotan jualan.

“Lebih Memburukkan lagi keadaan ketika ini, penerbit tempatan juga mendapat saingan yang sangat besar daripada penerbitan luar negara.

“Keadaan ini menjadikan saiz pasaran kandungan tempatan semakin tersudut ketika pesta buku ‘remainder’ atau pesta buku lelong semakin berleluasa.

“Meskipun ada petunjuk jualan buku menunjukkan peningkatan, masih terlalu awal untuk memberikan gambaran pemulihan sebenar industri buku tempatan khususnya,” katanya kepada BH.

Dalam hal ini tegas Sayed Munawar, suntikan dana menjadi komponen penting dalam usaha menempatkan industri buku Malaysia di tempat yang strategik.

Ia juga pelaburan yang memberikan pulangan berganda khususnya dalam aspek yang bersifat halus dan budaya yang bersifat ‘soft export’.

Dalam satu sudut yang lain pula Sayed Munawar berkata, ada penerbit tanah air yang turut memilih mencari pasaran baharu di luar negara untuk mengatasi masalah pasaran tempatan.

“Ada strategi yang khusus untuk tujuan ini dan PKB menjadi agensi yang ditubuhkan demi memenuhi keperluan ini secara spesifik.

“Namun sekali lagi, dana memainkan peranan yang penting kerana program pengantarabangsaan memerlukan ketekalan, strategi dan memerlukan daya tahan sebelum satu-satu perundingan dimuktamadkan,” katanya.

Suntikan dana kepada industri buku bukan suatu yang asing hingga pembentangan belanjawan turut ditunggu-tunggu oleh penggiat industri buku seperti baucar buku yang asalnya dikenali sebagai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebelum dikenal Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Pengenalan baucar buku pelajar Tingkatan 6 dan universiti itu, sepatutnya menjadi antara suntikan kepada industri buku apabila pelajar dapat menggunakannya untuk membuat pembelian buku, sekali gus membantu penerbit dan pekedai dalam meningkatkan jualan.

Bagaimanapun tegas Sayed Munawar, malangnya baucar buku dan KADS1M itu disalah guna untuk membuat pembelian selain daripada buku.

Malah, perubahan daripada BB1M kepada KADS1M pula mengakibatkan pembelian daripada pelajar merudum berikutan pengurangan dana perolehan buku yang disalurkan untuk tujuan selain buku dalam KADS1M.

“Senario ini turut menjejaskan saiz pasaran buku tempatan,” katanya.

Senada dengan Sayed Munawar ialah Pengarah Urusan Kumpulan Media PTS, Arief Hakim Sani Rahmat yang menyifatkan pelaburan daripada pihak kerajaan itu menjadi keperluan kepada industri.

“Sebarang polisi sedia ada yang sudah terbukti membangunkan industri buku, pembacaan dan penulisan perlu dikembalikan.

“Antaranya pemberian baucer buku dan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM1,000 untuk pembelian bahan bacaan,” katanya.

Arief Hakim berkata, majoriti syarikat dalam industri buku di negara ini, masih bertaraf IKS, manakala hanya buah syarikat sahaja yang berstatus syarikat senarai awam berbanding lebih dari 600 syarikat IKS.

“Bagaimanapun, secara ekonominya IKS buku memberi peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat, menerbitkan ribuan tajuk buku, menjual jutaan naskhah buku setahun dan menjana puluhan juta ringgit royalti untuk pengarang pada setiap tahun,” katanya.

Tambah Arief Hakim, IKS buku ialah tulang belakang kepada industri kandungan kreatif di negara ini. Ketika ini industri itu sedang sedang tenat disebabkan pelbagai faktor antaranya faktor pasaran, gangguan daripada internet dan faktor polisi kerajaan.

“Apa yang kita minta adalah supaya diperbetulkan polisi kerajaan dulu. Faktor gangguan daripada internet ini perlukan sedikit masa.

“Data dari seluruh dunia menunjukkan kestabilan dalam industri buku kembali dan ada perkembangan organik dalam kebanyakan pasaran utama buku dari serata dunia.

“Jadi, kita memerlukan masa untuk capai titik baharu keseimbangan untuk buku dalam dunia internet ini,” katanya.

Secara peribadi tegas Arief Hakim, beliau percaya, tanpa suntikan dana kerajaan persediaan Malaysia untuk meraikan status WBC pada 2020 akan terjejas.

“Antara teras utama kita dalam WBC ialah kempen membaca secara besar-besaran dan penambahbaikan kepada kemudahan perpustakaan yang ada di Kuala Lumpur. Dua teras ini memerlukan dana kerajaan,” katanya.

Berita Harian X