Isnin, 19 November 2018 | 4:33pm
CATAN yang dipercayai lukisan pelukis terkenal, Pablo Picasso, Tete d’Arlequin yang dicuri pada 2012 dari Muzium Kunsthal, Rotterdam, ditemui di Tulcea, Romania. - Foto AFP

Lukisan Picasso RM3.8 juta ditemui

BUCHAREST: Catan yang dipercayai lukisan pelukis terkenal, Pablo Picasso, Tete d’Arlequin yang dicuri pada 2012 dari Muzium Kunsthal, Rotterdam, ditemui di Tulcea, Romania Sabtu lalu.

Karya itu satu daripada tujuh keping catan karya pelukis terkenal seperti Matisse dan Monet yang dilarikan dari muzium berkenaan dalam kes kecurian karya seni paling dramatik dan membabitkan nilai jutaan euro.

Pencuri itu, seorang pemimpin Romania dan rakan subahatnya berjaya disabitkan kesalahan pada 2013 tetapi tiada satu pun karya seni berkenaan berjaya ditemui. Pakar seni Romania percaya sebahagian karya itu dibakar.

Pihak pendakwa dalam kenyataan mereka kepada media menyebut, pihaknya percaya catan yang ditemui di Tulcea itu adalah karya Picasso yang dicuri pada 2012. Ia bernilai 800,000 euro (RM3.8 juta).

Pendakwa berkata dua warga Belanda menyerahkan lukisan itu kepada Kedutaan Belanda di sini dan mendakwa mereka menemuinya di tenggara Romania.

Ketika kejadian kecurian itu berlaku, rakaman kamera keselamatan menunjukkan pencuri masuk melalui pintu belakang muzium sebelum hilang daripada pandangan. Beberapa saat kemudian mereka muncul semula dengan membawa objek besar yang dipercayai tujuh keping lukisan.

Selain Tete d’Arlequin, karya lain dicuri ialah lukisan dua pelukis terkenal Matisse dan Monet, iaitu La Liseuse en Blanc et Jaune, Waterloo Bridge, London dan Charing Cross Bridge, London.

Karya Gauguin yang turut dicuri ialah Femme devant une fenetre ouverte; karya Meijer De Haan (Autoportrait) dan karya Lucian Freud (Woman with Eyes Closed). - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X