Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:29pm
Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP
Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP
Novel Serotonin karya Michel Houellebecq. - Foto NSTP
Novel Serotonin karya Michel Houellebecq. - Foto NSTP

Novel pemberontak sastera, anti-Islam Perancis terbit 'berjaket kuning'

PARIS: Pengarang provokatif Perancis, Michel Houellebecq menyalurkan suara kepada kemarahan yang terbendung di sebalik rusuhan ‘Ves Kuning’ dari kawasan pedalaman melalui novel baharunya yang ditunggu-tunggu dan diterbitkan hari ini.

Houellebecq, pengkritik keras terhadap Kesatuan Eropah (EU), menjadi ikon kumpulan pelampau kanan selepas bukunya sebelum ini, Submission membayangkan Perancis memperkenalkan perundangan syariah susulan perlantikan Presiden Muslim pada 2022.

Watak wira yang mengalami tekanan perasaan melampau dalam novel terbarunya, Serotonin, ialah jurutera pertanian yang kembali ke akarnya di wilayah Perancis yang dihancurkan oleh globalisasi dan polisi pertanian Eropah.

Dia mendapati penduduk desa yang menahan kemarahan apabila tinggal nyawa-nyawa ikan tetapi siap untuk memberontak dan bangkit menghalang jalan raya, sekali gus menyamai apa yang sudah dilakukan oleh gerakan Ves Kuning sejak akhir November tahun lalu.

Novel ketujuh Houellebecq itu, ditulis lebih awal daripada penunjuk perasaan yang mengenakan jaket keselamatan penglihatan tinggi mula menghadang jalan raya untuk membantah Presiden Emmanuel Macron, dipuji oleh pengkritiknya sebagai antara karya yang terbaik.

Syarikat penerbitan Flammarion menerbitkan cetakan pertama sebanyak 320,000 naskhah untuk edisi bahasa Perancis – 64 kali ganda daripada cetakan biasa.

Buku yang akan diterbitkan dalam bahasa Jerman, Sepanyol dan Itali pada minggu depan itu, akan muncul dalam bahasa Inggeris pada September ini.

Pengarang berusia 62 itu, mencipta nama pada pentas dunia dengan novel nihilistik yang menggambarkan lelaki pembenci perempuan yang terperangkap dalam kewujudan tanpa cinta dan ketagihan penzinaan.

Tema kemerosotan Barat menguasai karyanya dengan buku terkininya tidak terkecuali.

Dalam Serotonin, Houellebecq yang dianugerahkan Legion of Honour pada 1 Januari sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada sastera Perancis, melawan ahli politik yang ‘tidak berjuang untuk kepentingan rakyatnya tetapi sanggup mati untuk mempertahankan perdagangan bebas.’

Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP
Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP

Watak protagonisnya – narator tipikal Houellebecqian dipanggil Florent-Claude Labrouste yang secara samar melambangkan pengarangnya – turut menyalahkan feminisme terhadap apa yang dianggap kematian Barat.

“Beginilah tamadun mati tanpa bahaya, drama dan pembunuhan,” kata Labrouste, watak berusia 46 yang merana kesedihan apabila pasangannya berbangsa Jepun membencinya, manakala kerjayanya sudah berakhir.

Di tanah kelahirannya Normandy, iaitu tempat yang dia kunjungi untuk mencari bekas isteri yang meninggalkannya selepas meniduri wanita lain, Labrouste menemukan pekerja kilang yang diberhentikan dan peladang yang gagal sedang membunuh diri.

Dia menganggap pada satu ketika, apa yang berlaku di Perancis ialah perancangan besar yang tersembunyi untuk menghapuskan kawasan desa bagi ‘memenuhi kriteria Eropah... manusia yang hilang tanpa berita.’

Majalah France’s L’Obs melabelkan Serotonin – rujukan kepada ubat antimurung yang diambil watak narator – buku terbaik Houellebecq, ‘karya indah yang merakam kesedihan tanpa batas.’

Majalah mingguan Jerman, Die Zeit menyifatkannya pengarang itu sekian lama dilihat sebagai ‘keyakinan anti-liberal pengarang terhebat Perancis yang masih hidup sebagai wadah sastera.’

“Kini, beliau perlu diberikan perhatian serius,” tulisnya.

Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP
Pengarang Perancis, Michel Houellebecq. - Foto AFP

Houellebecq memainkan peranan sebagai provokatur terbesar sastera.

Oktober lalu, beliau menarik perhatian dengan menganugerahkan Hadiah Oswald Spengler yang dinamakan sempena ahli falsafah fasis Jerman yang menulis The Decline of the West.

Pada acara penganugerahan itu, beliau berkata, Perancis sepatutnya meninggalkan euro, Muslim menjadi masalah di Eropah dan suasana akan lebih baik sekiranya ‘Gereja Katolik kembali menguasai.’

Dalam esei terbarunya yang disiarkan Harper’s Magazine yang diterbitkan di New York secara bulanan, beliau memuji Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap polisi perlindungan perdagangan, sekali gus menggelarkannya ‘antara Presiden AS yang terbaik.’

Novel Submission karya Michel Houellebecq. - Foto NSTP
Novel Submission karya Michel Houellebecq. - Foto NSTP

Buku sebelumnya, Submission diterbitkan pada hari yang sama dalam Januari 2015 apabila kelompok ekstremis menyerang pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris, membunuh 12 orang termasuk kawan rapat Houellebecq.

Buku itu terus naik ke puncak buku terlaris di pasaran, dijual hampir 800,000 naskhah di Perancis dan lebih setengah juta di Jerman.

Pada September, pengarang yang pernah menulis ‘cinta menjadikan manusia lemah’, mengahwini Qianyum Lysis Li, berasal dari China yang 20 lebih muda. - AFP

Berita Harian X