Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:13am
Novel Submission karya pengarang Perancis, Michel Houellebecq yang bersifat anti-Islam bakal diadaptasi ke drama televisyen. - AFP
Novel Submission karya pengarang Perancis, Michel Houellebecq yang bersifat anti-Islam bakal diadaptasi ke drama televisyen. - AFP

Karya anti-Islam Houellebecq diadaptasi ke drama TV

PARIS: Karya pengarang kontroversi Perancis, Michel Houellebecq dalam perancangan untuk diadaptasi ke drama televisyen.

Novel berjudul Submission diterima berbelah bahagi oleh pengkritik kerana karya itu membayangkan undang-undang syariah diterapkan di Perancis selepas Presidennya dipilih daripada calon beragama Islam.

Ramai pengkritik menganggapnya bersifat provokatif yang pengarangnya - pernah mengutuk Islam - kemudian mengaku ‘dia mungkin Islamofobia.’

Houellebecq dikatakan menyembunyikan diri pada hari novel itu diterbitkan pada Januari 2015 selepas anggota ekstremis menyerang pejabat majalah satira Charlie Hebdo Paris, sekali gus membunuh 12 orang awam termasuk seorang kawan rapatnya.

Lembaga Televisyen dan Filem Perancis memberitahu AFP bahawa pihaknya membantu dalam membiayai siri drama berdasarkan karya yang diadaptasi oleh Guillaume Nicloux.

Nicloux sebelum ini pernah mengarahkan filem komedi pada 2014 berjudul The Kidnapping of Michel Houellebecq yang turut dibintangi oleh pengarang kontroversi berkenaan.

Submission sudah terjual hampir 800,000 salinan di Perancis dan lebih daripada separuh juta di Jerman, sekali gus menjadikan Houellebecq sebagai pengarang moden Perancis yang paling banyak dibaca.

Novel terbaru Houellebecq, Serotonin turut menjadi buku terlaris di pasaran selepas diterbitkan pada awal bulan ini.

Pengkritik menyifatkan novel itu meramalkan gerakan protes Ves Kuning yang menggoncang negara untuk tempoh tiga bulan yang lalu.

Berita Harian X