Ahad, 17 Februari 2019 | 6:10pm
Proses ekskavasi di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan yang membawa kepada penemuan rangka manusia prasejarah, November lalu.

Gua Chawan bukti evolusi teknologi di alam Melayu

KUALA LUMPUR: Penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan, November lalu turut memberi masukan baharu kepada evolusi sosiobudaya dan perkembangan teknologi masyarakat pribumi Melayu.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli, berkata selain rangka manusia prasejarah itu, turut ditemui penyelidik dalam kerja ekskavasi itu ialah beberapa alat mikrolith.

Alat mikrolith atau peralatan batu berukuran kurang dari lima sentimeter (sm), termasuk mata panah dan lembing serta pisau itu, sebelum ini dianggap tidak pernah wujud di Semenanjung ini.

“Penemuan ini penting kerana pengkaji Barat menganggap masyarakat prasejarah di sini tidak memiliki evolusi daripada aspek teknologi litik kerana alat mikrolitik kebanyakannya hanya ditemui di Barat sahaja.

Alat mikrolith bersama rangka

“Malah, kita juga dikatakan tidak mengalami zaman Mesolitik disebabkan tiada alat mikrolith ditemui, sedangkan banyak alatan berkenaan ditemui bersama rangka manusia dan lapisan tanah di Gua Chawan kali ini,” katanya kepada BH, di sini.

November lalu, ATMA UKM yang mengetuai kerja ekskavasi bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menemukan rangka manusia prasejarah di Gua Chawan.

Ketika ini, kerja konservasi bersama JWN masih dilakukan untuk menyusun dan menyambung bahagian rangka itu yang turut disifatkan sebagai antara paling sempurna pernah ditemui di Gua Chawan.

Zuliskandar berkata, kerja ekskavasi yang turut disertai pelajar Sarjana Arkeologi ATMA UKM itu awalnya dilakukan bagi membina semula kronologi dan evolusi sosiobudaya masyarakat awal di hulu Kelantan bertujuan melihat kebenaran teori migrasi dikemukakan sarjana Barat.

Bagaimanapun kata Zuliskandar, penemuan rangka itu bersama sisa makanan dan alat batu di bahagian jari beserta kepingan batu sebagai alasan menolak teori migrasi oleh orientalis sebelum ini.

“Kami dapati cara pengebumian ini sama sahaja seperti mayat yang ditemui pada zaman Mesolitik, Neolitik dan logam di Semenanjung.

“Ini membuktikan teori migrasi seperti disebut tidak berlaku sebaliknya masyarakat Melayu pada ketika itu hanya melalui evolusi budaya sahaja.

“Mereka berevolusi dari zaman prasejarah dan semakin maju kerana ada berhijrah ke kawasan pesisir pantai yang kemudian berhubung dengan orang luar bagi menjalankan aktiviti perdagangan,” katanya.

Zuliskandar berkata, keadaan rangka dalam keadaan berlipat dengan bahagian muka menghala ke utara dan bahagian lutut di arah bertentangan itu dianggap penemuan mengejutkan kerana tapak perkuburan prasejarah ditemukan di Gua Chawan buat kali pertama.

Rangka manusia prasejarah ditemui di Gua Chawan tolak teori sarjana Barat. - NSTP/Asyraf Hamzah

Cara pengebumian

Penemuan rangka dalam keadaan sedemikian katanya, menunjukkan turut berlaku evolusi membabitkan cara pengebumian kerana sebelum ini kebanyakan rangka ditemui akan dilipat sepenuhnya seperti bayi dalam kandungan ibu.

Zuliskandar berkata, kajian lanjut dilakukan berdasarkan keadaan gigi rangka yang ditemui mendapati ia dimiliki seseorang yang berusia 30-an dan bukan remaja belasan tahun seperti disangkakan sebelum ini.

“Selain keadaan gigi yang haus, gigi bongsu rangka itu juga tumbuh sepenuhnya.

“Sebelum ini rangka itu disangkakan sebagai perempuan disebabkan kedudukan pelvis ketika ia ditemui, tetapi kita masih lagi melakukan pelbagai ujian bagi mengenal pasti jantinanya, selain kajian membabitkan bangsa dan penyakit yang mungkin dihidapinya.

“Pentarikhan bagi rangka jantina itu juga disahkan sebagai 8,720 tahun dan kami menjangkakan lebih banyak lagi rangka ditemui di kawasan Gua Chawan selepas ini,” katanya.

Info Rangka Manusia Prasejarah di Gua Chawan

• Rangka lengkap pernah ditemui di Gua Chawan.

• Kedudukan rangka ditemui pada kedalaman 1 hingga 1.5 meter dari permukaan tanah.

• Terdapat sebiji batu di bahagian alat sulit serta kristal pada bahagian kepala rangka.

Berita Harian X