Rabu, 6 March 2019 | 10:49am
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (kanan) diiringi Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob (kiri) melihat karya artis yang dipamerkan selepas merasmikan Pameran RONAisme di Galeri Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Tonjol karya pelukis Malaysia di hotel, pusat peranginan

SHAH ALAM: Pengurusan bangunan kerajaan, hotel dan pusat peranginan di negara ini disarankan mempamerkan karya seni anak tempatan bermotifkan suasana desa serta kehidupan kampung dalam usaha mempromosi keunikan Malaysia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharudin Shah, berkata hasil karya seperti itu patut ditonjolkan sebagai imej Malaysia.

“Di negara ini, apabila masuk ke hotel, jarang sekali kita lihat lukisan sedemikian. Sepatutnya pengusaha pelancongan mempamerkan lebih hasil kerja karyawan tempatan untuk menghidupkan balik suasana perkampungan Malaysia.

“Pelukis kita pula sangat berbakat yang ada gaya tersendiri dan ada kesungguhan mencungkil warisan kita.

“Ini satu pendedahan yang patut kita beri kerana ia boleh membantu mengembangkan, memajukan dan meningkatkan lagi karyawan seni lukisan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran RONAisme (Gaya NAIVE Malaysia) di Galeri Shah Alam di sini.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (kanan) diiringi Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob (kiri) melihat karya artis yang dipamerkan selepas merasmikan Pameran RONAisme di Galeri Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Raja Kamarul Bahrin berkata, jika tiada sokongan dan galakan daripada kerajaan dan swasta, pelukis tidak mungkin dapat bertahan lama.

“Industri pelancongan terutamanya hotel yang paling sesuai pamer hasil kerja seni ini selain bangunan kerajaan.

“Lukisan yang dipamerkan itu boleh memberi suasana yang sesuai dengan budaya kita, itu yang perlu kekalkan.

“Kalau hari ini kita tidak rakamkan, dalam 10 tahun lagi mungkin hasil karya mengenai gambaran suasana desa seperti ini berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, selain lukisan suasana perkampungan, lukisan bermotifkan permainan tradisional serta hidupan dasar laut juga boleh diketengahkan.

Katanya, dengan cara itu, semua pihak terbabit boleh memberi sokongan kepada industri seni lukis di Malaysia dan mempromosikan warisan dan budaya negara ini selain kesedaran awam terhadap alam sekitar.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (kanan) diiringi Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob (kiri) melihat karya artis yang dipamerkan selepas merasmikan Pameran RONAisme di Galeri Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada karya seni yang ditonjolkan pada pameran itu bermotifkan suasana desa dan gaya tradisional kampung membabitkan 27 pelukis seluruh negara.

“Banyak lukisan yang dipamerkan hari ini, memberi begitu banyak inspirasi mewakili Malaysia dan harapan saya semoga karya mereka tidak disia-siakan begitu sahaja,” katanya.

Berita Harian X