Selasa, 12 March 2019 | 2:37pm
Kerajaan didesak perbaiki hak berbudaya di negara ini termasuk membuang sekatan terhadap acara seni seperti makyung di Kelantan. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi

'Perbaiki hak berbudaya, buang sekatan terhadap makyung'

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak memperbaiki hak berbudaya di negara ini kerana masih wujud sekatan terhadap acara seni dan budaya seperti makyung dan wayang kulit di Kelantan.

Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Karima Bennoune, berkata pendirian itu sudah dinyatakan kepada kerajaan terdahulu tetapi masih belum dilaksanakan.

“Hak asasi kebudayaan di negara ini perlu diperbaiki dengan membuang sekatan amalan kebudayaan seperti makyung yang dikatakan masih berlaku hingga kini.

“Malaysia diketahui dunia mengharamkan seni budaya yang sememangnya berasal daripada tradisinya sendiri, sekali gus ia sangat memalukan,” katanya pada Persidangan Mengenai Seni dan Budaya Antarabangsa Ke-8, The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohammadin Ketapi.

Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Karima Bennoune - Foto BERNAMA

Bennoune berkata, Malaysia perlu mencari jalan untuk menyokong seniman yang terbabit dengan seni itu.

“Saya tahu pengharaman itu tidak dilaksanakan secara khusus tetapi masih ada stigma mengenainya.

“Seniman yang terbabit perlu disokong untuk memastikan seni itu terus bertahan, selain diberi bantuan kewangan berikutan kerosakan yang berlaku lanjutan daripada pengharaman itu,” katanya.

Tambah Bennounce, kerajaan sekarang perlu menimbangkan cadangan yang diusulkan, sekali gus berharap pentadbiran baharu mampu mengambil langkah berani dalam melaksanakannya.

“Ini kerana terlalu banyak nilai positif dalam kepelbagaian budaya di negara ini tetapi banyak perkara perlu dibuat untuk memuliharanya, selain berinteraksi dengan cabaran mendatang.

“Jika cadangan itu tidak dilaksanakan, saya akan terus menyarankan supaya sekatan dibuang dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya ia ditarik balik dalam masa segera,” katanya.

Berita Harian X