Selasa, 12 March 2019 | 7:17pm
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) gesa peruntukan undang-undang berkait penggunaan bahasa di papan tanda di pihak berkuasa tempatan (PBT) diselaraskan. Gambar hiasan. - Foto Amirudin Sahib.

DBP: 'Pendakwah' bahasa Melayu lebih berkesan

KUALA LUMPUR: Tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai ‘pendakwah’ bahasa lebih berkesan daripada menjadi ‘polis’ bahasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata tugas pendakwah bahasa lebih berkesan dalam mengatasi kegagalan sesetengah pihak menguatkuasakan undang-undang mengenai penyalahgunaan bahasa di negara ini.

Beliau berkata, antara aspek pendakwahan bahasa Melayu termasuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab mendaulatkan bahasa.

“Ia juga meletakkan nilai ekonomi kepada bahasa Melayu seperti dilakukan masyarakat Jepun dan Perancis yang bukan saja menyayangi, malah menjunjung bahasa masing-masing.

“DBP sebenarnya lebih gemar memainkan peranan sebagai pendakwah bahasa berbanding menghukum melalui penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada BH di sini.

Awal tahun ini, BH menyiarkan laporan DBP tiada ‘taring’ tanpa kuasa penguatkuasaan hingga menyebabkan bahasa kebangsaan di negara ini terus diperlekehkan.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak kerajaan segera memberi kuasa kepada agensi itu agar ia boleh mengambil tindakan dalam isu berkenaan, termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan ditetapkan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shoheran. - Foto Amirudin Sahib

Abang Sallehuddin berkata, pihaknya mahu menanam rasa bertanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa Melayu dalam masyarakat terlebih dahulu.

“Kita akan menggiatkan usaha meyakinkan masyarakat bahawa bahasa Melayu memiliki nilai ekonomi dengan mempergiatkan gerakan membawa dan memasarkan budaya serta bahasa kita di luar negara.

Langkah beri kesedaran

“Bagaimanapun, tuntutan supaya DBP diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang berpunca daripada ketidakpedulian umum terhadap Perlembagaan Persekutuan, justeru langkah menghukum adalah terakhir akan diambil berbanding langkah memberi kesedaran,” katanya.

Oleh itu, Abang Sallehuddin berkata, DBP masih lagi mengusahakan pindaan akta membabitkan pemberian kuasa kepada entiti bahasa itu dalam hal menguatkuasakan undang-undang.

Sementara proses itu berlangsung katanya, DBP menggesa keselarasan PBT di negara ini dalam hal mewujudkan peruntukan undang-undang berkait penggunaan bahasa asing termasuk di papan tanda.

“Tidak semua PBT di negara ini memiliki peruntukan undang-undang berkaitan hal penyalahgunaan bahasa. Justeru, kita memohon supaya semua PBT dapat selaras dalam hal mewujudkan undang-undang kecil ini.

“Undang-undang kecil ini kemudian tidak hanya diwujudkan, sebaliknya perlu dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana hanya cara itu saja, isu penyalahgunaan bahasa ini dapat diselesaikan,” katanya.

Abang Sallehuddin berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan penggredan membabitkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi termasuk membabitkan pengumuman sebarang program kerajaan

“Ini masih lagi diabaikan dan kami memohon kementerian dan agensi kerajaan untuk melihat isu ini secara serius.

“Penting untuk menunjukkan pegawai kerajaan di negara ini juga menghormati Perlembagaan Persekutuan apatah lagi ia penting dalam pembinaan jati diri sesuatu bangsa, selain membawa imej sesebuah negara,” katanya.

Berita Harian X