Rabu, 26 Jun 2019 | 2:01pm
Pengarang tersohor Britain, Ken Follett, Lee Child, Kate Mosse dan Jojo Moyes akan jelajah Eropah sebagai mewakili 48 peratus rakyat yang menolak Brexit, sekali gus tidak yakin kepada ketidaktentuan politik dan bakal pengganti perdana menteri termasuk Boris Johnson (gambar). - Foto AFP
Pengarang tersohor Britain, Ken Follett, Lee Child, Kate Mosse dan Jojo Moyes akan jelajah Eropah sebagai mewakili 48 peratus rakyat yang menolak Brexit, sekali gus tidak yakin kepada ketidaktentuan politik dan bakal pengganti perdana menteri termasuk Boris Johnson (gambar). - Foto AFP

Penulis siri Jack Reacher, sertai kempen bantah Brexit

LONDON: Ken Follett, Lee Child, Kate Mosse dan Jojo Moyes, iaitu empat pengarang hebat sastera British, melancarkan Friendship Tour di seluruh Eropah sebagai mewakili 48 peratus rakyat negaranya yang mengundi menolak Brexit.

Jelajah pada November ini akan mengunjungi Milan, Madrid, Berlin dan Paris. Empat pengarang itu akan menemui novelis muda dan menjawab soalan daripada peminat mengenai Brexit dan topik lain, kata mereka dalam sidang media di London, semalam.

“Kami melakukan ini kerana malu dan kecewa dengan situasi politik semasa di negara kami dalam tempoh tiga tahun mutakhir ini,” kata Follett yang merujuk kepada pungutan suara Jun 2016 yang menyaksikan 52 peratus orang mengundi untuk Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik sejak itu.

“Kami berasa negara ini memberikan bayangan rakyat Britain tidak menyukai orang Eropah lain dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada Eropah yang menyebabkan kami malu,” kata novelis berusia 70 yang karya terlaris di pasaran termasuk Eye of the Needle dan The Pillars of the Earth.

“Ia bukan mengenai untuk memujuk Britain kekal dalam EU; saya sendiri berasa nasi sudah menjadi bubur,” kata Follet.

“Sebaliknya ia untuk meyakinkan rakyat dari negara jiran di Eropah bahawa kami tidak mempunyai perasaan seperti itu, kami tidak mahu meninggalkan Eropah, kami tidak benci orang asing.”

Britain akan meninggalkan EU pada 31 Oktober ini.

Brexit ialah sumber kepada kekecewaan besar,” kata novelis karya cinta, Moyes, yang juga pengarang Foreign Fruit, The Last Letter From Your Lover dan Me Before You.

“Antara yang menakutkan saya adalah keretakan politik dan emosi yang dirasai seperti dalam sebuah keluarga,” katanya.

Follett, 70 - penyokong sekian lama parti pembangkang utama, Parti Buruh a long-time supporter of the main opposition Labour Party - berkata, beliau tidak meyakini pengganti Perdana Menteri, Theresa May yang akan mengambil alih jawatan itu pada 24 Julai ini.

Dua calon ternama Parti Konservatif sedang berebut: Setiausaha Luar, Jeremy Hunt dan bekas penyandang jawatan itu, Boris Johnson, yang menjadi calon kegemaran.

“Saya tidak fikir kedua-duanya dapat memperbetulkan keadaan.

“Saya tidak nampak laluan yang kami dilalui menuju kepada pengakhiran bahagia,” kata Follet.

Lee Child, ialah nama pena kepada James Grant, iaitu pengarang di sebalik siri novel hero aksi, Jack Reacher berkata, peluang bekas datuk bandar London, Johnson menjadi perdana menteri juga teruk.

“Apa yang kita akan peroleh ialah Boris Trump: tokoh pelik yang lain, pendusta dengan rambut yang aneh dan tidak memahami polisi,” katanya. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X