Isnin, 22 Julai 2019 | 12:18pm
Baucar buku jadi antara faktor membantu industri buku Malaysia apabila turut digunakan di pesta buku. Gambar hiasan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Industri buku perlu baucar, dana perpustakaan

KUALA LUMPUR: Industri buku tanah air masih perlu dibantu dari segi dasar fiskal merangkumi baucar buku, pelepasan cukai peribadi dan dana untuk perpustakaan.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata semua itu adalah kelebihan yang pernah diwujudkan bagi menyokong perkembangan industri buku tetapi sudah ditiadakan, sekali gus menjadi antara faktor kesuraman industri buku tempatan.

Arief Hakim Sani berkata, insentif fiskal itu diharap dapat dipulihkan kepada tahap lama atau lebih baik jika ia ditambah.

“Kami faham posisi kewangan kerajaan masih belum kukuh tetapi dalam soal ini, kerajaan perlu melihat fasa pelaksanaan yang diamalkan mereka.

“Misalnya dari segi cara pembekalan buku teks untuk sekolah yang memaksa penerbit dan penulis memindahkan hak cipta kepada kerajaan.

“Langkah ini merosakkan ekosistem buku tempatan dari segi jangka masa panjang. Kerajaan boleh memulihkan kesilapan ini dengan memulangkan semula hak penulis dan penerbit buku teks,” katanya kepada BH di sini.

Arief Hakim Sani berkata, hal sama juga berlaku dalam penerbitan buku teks bahasa Inggeris, sekali gus meminta Kementerian Pendidikan menghentikan penggunaan buku teks import untuk sekolah rendah dan menengah.

Katanya, kos buku teks import adalah lebih empat kali ganda mahal berbanding buku teks tempatan.

“Apatah lagi, pakar pengajaran bahasa Inggeris tempatan lebih daripada mampu untuk menghasilkan buku teks yang memenuhi keperluan pembelajaran, nilai dan budaya tempatan,” katanya.

Arief Hakim Sani mengakui keprihatinan kerajaan terhadap industri buku tempatan tetapi menganggap tidak cukup sekadar mendengar pandangan dan luahan pemain industri, sebaliknya perlu disusuli pelbagai tindakan terutama polisi.

Beliau berkata, berdasarkan interaksi pemain industri dengan kerajaan, terbukti pemerintah mendengar luahan dikemukakan tetapi masalah utama belum ditunaikan dengan alasan undang-undang, dana atau pentadbiran.

“Pihak industri tidak akan berhenti bercakap kepada pemimpin politik, pembuat dan pelaksana dasar dalam kerajaan. Perjuangan itu bermakna terus bercakap tanpa henti mengenai perkara penting,” katanya.

Tegas Arief Hakim Sani, antara isu utama dikemukakan ialah dari segi dasar, iaitu Dasar Buku Negara (DBN) yang menjadi dokumen dasar komprehensif.

DBN katanya, perlu menekankan kepada kempen membaca, iaitu kunci utama membina industri buku mapan.

“Kedua, dari segi fiskal meliputi baucar buku, pelepasan cukai peribadi, dana untuk perpustakaan semua perkara penting, seterusnya implementasi dan persoalan hak cipta,” katanya.

Pandangan Arief Hakim Sani ini ada benarnya kerana walaupun ekonomi buku dunia umumnya meningkat, termasuk kadar jualan buku bercetak, hal sama tidak berlaku di negara ini.

Industri buku tanah air masih lagi merosot ketika industri sama di Barat mencatat kenaikan jualan buku fizikal. Untuk menyebut penurunan jualan buku fizikal di negara ini disebabkan pertambahan muat turun e-buku, ia tidak tepat kerana kadarnya masih kecil berbanding buku bercetak.

Justeru, apakah sebenarnya yang sedang terjadi kepada industri buku negara?

Arief Hakim Sani berkata, keadaan hari ini boleh dikatakan sebagai kitaran berkaitan dengan trend kandungan, kuasa beli pengguna dan polisi kerajaan, selain turut disebabkan perkembangan teknologi.

“Bagi jangka satu hingga lima tahun ini, faktor ekonomi dan rangsangan kerajaan seperti kempen Dekad Membaca Kebangsaan, baucar buku, pelepasan cukai pendapatan peribadi dan pembelian perpustakaan, akan menjadi faktor pemulihan berimpak tinggi,” katanya.

Berita Harian X