Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:16pm
Novel sastera sejarah tanah air yang ditulis oleh pengarang Malaysia. - Foto NSTP

Novel patriotik elak sejarah negara diubah

TINGGAL seminggu lagi, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air, 31 Ogos 1957. Denai merentas zaman penjajahan itu dilalui dengan perjalanan penuh liku dan berdepan ranjau.

Perjuangan menuntut kemerdekaan itu pastinya menumpahkan darah dan air mata tetapi ia turut mengalirkan dakwat.

Ini kerana pengarang dan penulis turut sama menggemblengkan tenaga untuk menghidupkan dan menyemarakkan semangat bangsa supaya berani dan tetap memperjuangkan kemerdekaan.

Malah, ia tidak berhenti dengan laungan ‘Merdeka’, sebaliknya golongan sasterawan meneruskan kesinambungan perjuangan dalam mengisi makna kemerdekaan melalui penghasilan karya kesusasteraan.

Justeru, novel bertemakan patriotik bukan sekadar merakam sejarah penentangan terhadap penjajah dan proses diplomasi menuntut kemerdekaan, sebaliknya lebih penting adalah mendedahkan realiti lebih mencabar untuk mengisi pembangunan negara.

Ini kerana watak antagonis bukan lagi penjajah, sebaliknya novel pascamerdeka tidak hanya menjadikan manusia sebangsa atau senegara sebagai watak penentang, bahkan sifat dan perangai kita sendiri.

Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila karya Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako ialah dua novel yang dihasilkan sebelum dan selepas kemerdekaan, sekali gus wajib dibaca untuk memahami perjuangan kemerdekaan daripada kedua-dua period.

Putera Gunung Tahan terbitan 1938 ibarat serampang dua mata yang mengkritik secara sindiran tajam kepada penjajah dan menyalakan kesedaran pemikiran anak bangsa untuk berdepan dengan gergasi imperialis dunia itu.

Novel itu berkisar watak utama, Ratu Bongsu berdepan penjajah seperti Tuan Robert dan Tuan William yang tamak serta mahu merampas Puncak Gunung Tahan.

Ia mencetuskan kemurkaan Ratu Bongsu hingga membawa kepada rentetan peristiwa yang menjadi simbol sindiran pengarang dan pada masa sama melambangkan kebijaksanaan bangsa Melayu.

Sekiranya Putera Gunung Tahan menjadikan penjajah sebagai watak antagonis yang perlu diserang habis-habisan, maka Anak Mat Lela Gila pula menjelmakan sikap masyarakat yang gagal mengisi kemerdekaan dengan sewajarnya.

Membaca novel trilogi Lepaskan Kembali Aku Ke Laut karya Shaari Isa ibarat menyusur perjalanan sebuah negara daripada berada di bawah cengkaman penjajah hingga menghirup kemerdekaan dan mengisinya dengan pembangunan mencabar.

Dokumentasi sejarah tiga kaum dalam perjalanan negara dipermudahkan secara kreatif oleh Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, sekali gus menyenangkan pembaca untuk memahami hakikat sejarah yang ada kalanya sukar untuk ditelan.

Di sebalik kontroversi yang melanda Interlok, novel itu sebenarnya melambangkan kehidupan bangsa di bawah dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris menuju kepada perpaduan yang perlu diusahakan dalam negara merdeka.

Berlatar belakangkan Pulau Pinang, Interlok bercerita mengenai kegigihan keluarga Melayu, India dan Cina sebelum merdeka yang ingin mengubah nasib keluarga.

Pengajaran pada sejarah Malaysia sebelum dan pascamerdeka juga boleh disorot berdasarkan entiti lebih khusus seperti yang dilakukan oleh SN, Datuk Seri A Samad Said dalam Hujan Pagi.

A Samad yang pernah mengemudi akhbar BH sebagai Pengarangnya, menampilkan dua garis masa dunia kewartawanan dalam Hujan Pagi, iaitu sebelum dan selepas merdeka atau lebih tepatnya era akhbar dikuasai parti politik.

Dalam latar penjajahan, Lokman mengemudi akhbar Hujan Pagi sebagai alat kemerdekaan berdepan dengan muslihat penjajah tetapi latar masa nyata pula meletakkan watak utama itu dalam tekanan psikologi akibat desakan terhadap akhbar Sinar Pagi.

Di Bumi Kenyalang, kisah perjuangan kemerdekaan itu dirakam dengan bertenaga dan hidup oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Jong Chian Lai dalam Pemberontakan berlatarkan warna-warni etnik Sarawak.

Chian Lai dalam novel terbarunya, Ah Fook, kembali menyusur perjalanan watak yang namanya diangkat sebagai judul, meninggalkan anak isteri di tanah airnya, China untuk mencari rezeki di Sarawak, sekali gus merakam sejarah penjajahan Jepun hingga merdeka.

Novel yang memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH itu, memberikan perspektif lain kepada naratif kemerdekaan tetapi perlu diambil kira untuk kepentingan masa depan.

Datu Mat Salleh sudah tentu sinonim dengan perjuangan menentang penjajah di Negeri Di Bawah Bayu hingga tidak terlepas daripada pena kreatif pengarang daripada novel remaja Timulak Kapal Perang karya Azmah Nordin hingga novel wacana, Burung Merak (Jasni Matlani).

Selain kedua-dua karya penerima SEA Write itu, period penjajahan turut diangkat sebagai latar dalam novel Hari-hari Terakhir di Jesselton oleh Ruhaini Matdarin yang menampilkan watak kumpulan bangsawan pada zaman kependudukan Jepun.

Sebenarnya masih banyak novel yang merakam sejarah perjuangan kemerdekaan sama ada tampil sebagai novel yang patuh kepada fakta sejarah atau menyelitkan watak imaginasi dalam peristiwa sejarah tetapi ia terbiar di rak perpustakaan.

Novel sebegini kurang dibawa ke tengah-tengah masyarakat sama ada dalam bentuk wacana atau adaptasi yang boleh menarik minat generasi muda dan baharu.

Selain Lepaskan Kembali Aku Ke Laut dan Ah Fook yang diadaptasi ke drama, novel sejarah kurang menarik perhatian industri filem tanah air, tidak seperti yang berlaku di negara jiran, Indonesia.

Malah ketika industri filem luar seperti Taiwan dan Korea Selatan menggali khazanah mereka untuk mengangkat jati diri bangsa, novel penting dalam konteks sejarah kemerdekaan kita terus diselimuti debu.

Dalam keadaan suasana sosio-politik semasa yang mula mempersoalkan semua perkara termasuk sejarah dan cuba mengemukakan naratif lain yang dulunya bersifat pinggiran atau mungkin berunsurkan subversif, pemikiran generasi baharu perlu dipersiapkan dengan naratif sejarah yang menepati kebenaran, tanpa dipengaruhi ketidaktentuan pemikiran pascamodenisme.

Pengukuhan itu tidak boleh hanya dalam bentuk pendidikan formal di sekolah tetapi memerlukan sentuhan kreatif yang ditampilkan dalam bentuk karya kreatif seperti novel atau filem berasaskan teks bermutu.

Generasi baharu tidak mungkin dapat didedahkan dengan sejarah bangsa dan tanah air mereka melalui lambakan fakta dalam sukatan pelajaran, sebaliknya perlu merasainya sendiri melalui pengalaman pembacaan novel dan tontonan drama atau filem berasaskan teks yang betul.

Tanpa pengalaman sebegitu, mereka akan mudah terpukau dengan naratif yang seolah-olah segar atau terpedaya dengan slogan ‘sejarah ditulis orang yang menang’ tetapi sebenarnya hanya bertujuan menghapuskan sejarah berasaskan kebenaran.

Berita Harian X