Rabu, 28 Ogos 2019 | 2:09pm

Melaka pusat Islamisasi, pendidikan alam Melayu

MELAKA: Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka tidak hanya perlu disorot daripada sudut perdagangan dan pelabuhan, sebaliknya pusat penyebaran Islam dan pengajian Islam utama.

Profesor Sejarah Islam dan Budaya, Fakulti Adab dan Kemanusiaan, Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Jakarta, Prof Dr Azyumardi Azra, berkata Melaka bertanggungjawab terhadap Islamisasi wilayah sekitar di alam Melayu seperti Johor, Pahang, Jambi, Kampar, Bengkalis dan Pulau Karimun, malah ulama dari Melaka ialah kelompok awal menyebarkan Islam di Filipina.

Azyumardi berkata, apabila pemerintah Melaka memeluk Islam termasuk menerusi perkahwinan dengan kerabat diraja daripada negeri lain menjadikan kedudukan Melaka semakin diiktiraf dan dihormati.

“Ia melahirkan dorongan kepada Islam untuk meraih momentum di Melaka terutama ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.

“Kebangkitan Melaka berlaku dengan cepat dan akhirnya pada hujung abad ke-15, Melaka menggantikan Kerajaan Samudra-Pasai sebagai pelabuhan utama dalam dunia Melayu-Indonesia,” katanya di Persidangan Melaka in The Long 15th Century di sini.


Profesor Sejarah Islam dan Budaya, Fakulti Adab dan Kemanusiaan, Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Jakarta, Prof Dr Azyumardi Azra. - Foto NSTP

Azyumardi berkata, berbanding pemerintah Samudra-Pasai, pentadbiran Melaka menggunakan undang-undang berasaskan syariah.

“Malah dalam naskhah Sulalatus Salatin, Sultan Mansur Shah menasihati puteranya, Alaudin Riayat Shah supaya memerintah mengikut ajaran Islam.

“Undang-undang Melaka berdasarkan mazhab Shafie yang sangat penting dalam konteks perkembangan Islam di Melaka.

“Ia membawa beberapa prinsip antaranya idea pemerintahan dan sifat kedaulatan ditentukan pemikiran Islam; adanya undang-undang yang boleh diguna pakai kepada penduduk Islam dan bukan Islam serta undang-undang keluarga berdasarkan fiqh,” katanya.


Kedudukan istimewa Melaka di laluan sempit Selat Melaka, menjadikan kota itu sebagai rebutan kuasa besar yang ingin menakluk laluan perdagangan Timur-Barat. Foto hiasan.

Bagaimanapun kata Azyumardi, disebabkan kedudukan istimewanya di laluan Selat Melaka yang sempit, Melaka menjadi rebutan kuasa besar yang ingin menakluk laluan perdagangan Timur-Barat.

“Pergelutan itu bukan hanya berlaku dalam kalangan kuasa kesultanan di Selat Melaka seperti Acheh, bahkan kuasa Eropah seperti Portugis dan Belanda.

“Melaka antara 1403 hingga 1511 ialah kuasa utama Kepulauan Melayu-Indonesia tetapi zaman kegemilangannya berakhir apabila dijajah Portugis pada 1511 dengan sultan terakhirnya, Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Pahang, manakala semua cubaan mendapatkan kembali Melaka selepas itu gagal,” katanya.


Kedudukan istimewa Melaka di laluan sempit Selat Melaka, menjadikan kota itu sebagai rebutan kuasa besar yang ingin menakluk laluan perdagangan Timur-Barat. Foto hiasan.

Kejatuhan Melaka tegas Azyurmadi, memberi kesan kepada fungsinya sebagai pusat penyebaran Islam yang kemudiannya diambil alih Kesultanan Acheh.

“Namun sebelum kejatuhannya itu, Melaka memberi gambaran jelas kehidupan Islam dalam dunia Melayu,” katanya.

Kedudukan Melaka sebagai pelabuhan dan pusat pengajian Islam di Alam Melayu turut dicatatkan dalam rekod Asia Barat terutama Parsi dan Turki.


Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti St Andrew, Scotland, Prof Andrew Peacock. - Foto NSTP

Hal itu dikongsikan Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti St Andrew, Scotland, Prof Andrew Peacock menerusi perkongsian, Melaka in the Arabic, Persian and Turkish Sources.

Peacock berkata, Asia Tenggara dan pantai Semenanjung Tanah Melayu ialah perhentian penting dalam perjalanan ke China yang terlihat dalam karya geografi Arab menggambarkan laluan di Lautan Hindi.

“Antara rekod paling terperinci ialah al-Masalik wal-Mamalik dari Ibn Khurdadhbih yang disusun pada 846-847.

“Pengembara Arab juga merekodkannya dalam karya sastera seperti Akhbar al-Sin wal-Hind ditulis pada 851 dan ‘Aja’ib al-Hind dari Buzurg Shahriyar Ramhurmuz ditulis pada abad ke-10,” katanya.


Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka tidak hanya perlu disorot daripada sudut perdagangan dan pelabuhan, sebaliknya pusat penyebaran Islam serta pengajian Islam utama yang berlaku di istana. Foto hiasan.

Adakalanya kata Peacock, maklumat diperoleh daripada bahasa Yunani klasik dan sumber India juga dapat dilihat pada sumber Arab zaman pertengahan, walaupun jumlahnya tidaklah terlalu banyak.

“Terdapat nota pelayaran Arab mengenai Melaka yang dihasilkan pada akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16 dihasilkan pelayar Arab, Ahmad Ibnu Majid (1432-37) dan Sulayman al-Mahri.

“Tulisan Ibnu Majid ditemui dalam al-Ma‘laqiyya atau Puisi Melaka memberi panduan arah belayar ke Melaka.

“Sulayman al-Mahri pula menulis dalam bentuk prosa, al-‘Umda al-Mahriyya fil-‘Ulum al-Bahriyya dihasilkan pada 1511, iaitu tahun kejatuhan Melaka,” katanya.


Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka tidak hanya perlu disorot daripada sudut perdagangan dan pelabuhan, sebaliknya pusat penyebaran Islam dan pengajian Islam utama. Foto hiasan

Peacock berkata, Ibnu Majid memberikan perincian pesisir pantai Semenanjung Tanah Melayu yang menjelaskan adanya jalan kembara menghubungkan Asia Barat dengan Melaka.

“Namun, sumber Arab terbaik mengenai Asia Tenggara ialah Jami’ al-Barr wal-Bahr, ditulis di India oleh penulis berbangsa Iran.

“Selain itu, tulisan Mahmud ‘Abdallah Nishapuri yang dihasilkan pada hujung abad ke-16 atau awal abad ke-17 menyelitkan satu bab mengenai Melaka antaranya ia sebagai negeri yang enam bulan perjalanan di tepi laut dari ibu negara China,” katanya.

Tambah Peacock, sebuah lagi teks Parsi yang menyebut Melaka ialah rekod Duta Iran ke Mahkamah Siam pada 168.

“Penulisan itu menyebut pegawai kedutaan terkandas di Semenanjung Melayu dalam perjalanan kembali dan berhenti di Melaka.

“Bagaimanapun penulisan mengenai Melaka yang dihasilkan di India, Iran dan Asia Tengah agak terhad meskipun kehadiran mereka di Melaka ditulis Tome Pires,” katanya.

Berita Harian X