Jumaat, 30 Ogos 2019 | 12:59pm
Pulau Kunta Kinteh, Gambia menjadi sebahagian lokasi yang dipelihara sebagai peringatan perdagangan abdi di Afrika. - Foto Reuters

Kunta Kinteh rakam sejarah kejam perdagangan abdi

KUNTA KINTEH ISLAND, Gambia: Kapten kapal, Abdoulie Jabang bercerita dengan pengunjung yang dibawanya ke pulau Kunta Kinteh mengenai ombak yang memukul pantai tapak bekas perhambaan itu akan menghakis sejarahnya.

Terletak di muara sungai Gambia, pulau itu memiliki banyak kubu yang berada di persisiran Afrika Barat - runtuhannya mengingatkan perdagangan hamba rentas-Atlantik selama ratusan tahun yang memisahkan jutaan warga Afrika dari tanah air mereka.

Ketika Abdoulie mengemudi bot berwarna biru membelah laut, beliau menunjukkan Kunta Kinteh yang runtuhan kotanya dibayangi pohon baobab gergasi yang diancam hakisan.

“Kita dapat lihat pulau itu sangat kecil. Kami wajib memelihara pulau ini untuk tatapan generasi akan datang - kami perlu memberitahu mereka mengenai sejarah berkenaan. Kami tidak boleh lupa terhadap apa yang berlaku di sana,” katanya.

Dari Pulau Goree, Senegal kedudukan paling barat Afrika hingga pelabuhan Badagry di Teluk Guinea, Nigeria, tapak itu menjadi tempat persinggahan terakhir di tanah tumpah mereka sebelum menjadi lokasi penghijrahan dan kenangan.

Peningkatan jumlah pengunjung pada tahun ini, menandakan ulang tahun ke-400 sejak hamba abdi Afrika kali pertama direkodkan tiba di Amerika Utara.


Pulau Kunta Kinteh, Gambia menjadi sebahagian lokasi yang dipelihara sebagai peringatan perdagangan abdi di Afrika. - Foto Reuters

Pelancong boleh berjalan di sepanjang benteng yang dilengkapi meriam di kubu hamba atau melalui lokasi tiada patah balik apabila abdi berantai digiring untuk menunggu kapal laut.

Mereka yang hidup dan bekerja di bawah lembayung mercu tanda itu menganggap tapak berkenaan sebagai peringatan supaya tidak membiarkan sejarah berulang lagi.

Penduduk, Chief Seraphin, berkata generasi masa depan perlu mengetahui apa yang pernah berlaku supaya ia tidak berulang lagi.


Pulau Kunta Kinteh, Gambia menjadi sebahagian lokasi yang dipelihara sebagai peringatan perdagangan abdi di Afrika. - Foto Reuters

Batu peringatan tinggi yang dibelit rantai kini menjadi memorial kepada hamba abdi yang dipaksa mandi buat kali terakhir di perairan Bodo yang keruh sebelum digiring masuk ke kapal.

Memorial itu dibina dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menganugerahkan status tapak warisan dunia kepada pulau Kunta Kinteh dan beberapa tapak lain di Afrika Barat.

Ia sebagai mengiktiraf kepentingan lokasi itu yang menjadi saksi kepada perdagangan hamba abdi. - Reuters

Berita Harian X