Sabtu, 31 Ogos 2019 | 12:34pm
Sempena Hari Kebangsaan, Sastera BH mengemukakan 10 novel karya pengarang veteran dan muda membawa semangat kemerdekaan bukan sahaja dalam bentuk realisme, bahkan dengan gaya lebih segar dan kreatif. - Foto NSTP

10 novel bawa semangat kemerdekaan, bernafas segar

USIA kemerdekaan negara sudah mencapai 62 tahun tetapi kesan zaman penjajahan masih berbekas walaupun dalam kalangan generasi baharu yang lahir selepas merdeka.

Ini boleh dibuktikan dengan kemunculan novel pengarang muda yang berkongsi pemikiran mengenai sejarah pembangunan negara menerusi penegasan baharu, selain membawa pembaca berfikir mengenai definisi kenegaraan dan kecintaan kepada tanah air.

Menariknya, meskipun sebahagian pengarang muda ini menghasilkan naskhah dengan gaya realisme, tidak kurang juga tampil mempersembahkannya dengan sentuhan sains fiksyen dan futuristik, malah grafik.

Sempena Hari Kebangsaan disambut pada hari ini, Sastera BH mengemukakan 10 novel yang dihasilkan pengarang veteran dan muda membawa semangat kemerdekaan bukan sahaja dalam bentuk realisme, bahkan dengan gaya lebih segar dan kreatif.

1511H (KOMBAT)

Naskhah bersifat futuristik tulisan Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani ini tidak difokuskan kepada kemajuan negara atau kecintaan terhadap bangsa pada masa kini.

Sebaliknya, ia bergerak lebih jauh dengan menceritakan kebangkitan tamadun Islam menjelang 1511 Hijrah, iaitu dalam perkiraan Masihi ialah 2038.

Novel ini sebenarnya gerakan balas kepada tekanan oleh Barat yang membina naratif jelik terhadap Islam, sekali gus mewujudkan senario Islamophobia.

1515


Nyemah Mulya menjadi watak utama dalam novel 1515 yang menjungkirbalikkan sejarah Melaka selepas ditewaskan Portugis pada tahun 1511. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Juga naskhah tulisan Faisal Tehrani, novel ini adalah karya pascakolonial yang banyak diperkatakan dalam kalangan sarjana.

Ia adalah karya menjungkirbalikkan sejarah Melaka selepas ditewaskan Portugis pada tahun 1511 tetapi dalam novel ini, kuasa penjajah itu menjadi golongan yang kalah.

Naskhah ini disorot daripada watak Nyemah Mulya.

Leksikon Ledang

Ditulis Nor Azida Ishak dan Fadli al-Akiti, naskhah ini dipersembahkan dalam genre fiksyen sains menggabungkan kisah dipetik daripada Sulalatus Salatin dengan watak moden.

Karya ini menyingkap kembali peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang yang meletakkan tujuh syarat jika Sultan Melaka mahu memperisterikannya.

Menariknya, watak Puteri Gunung Ledang digambarkan punya ilmu sains tinggi dan rumusan paling utama dalam naskhah itu tentu saja pada kepentingan untuk memelihara sistem beraja.


Puteri Gunung Ledang meletakkan tujuh syarat sekiranya Sultan Melaka mahu memperisterikannya. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Warisnya Kalbu

Novel Sri Rahayu Yusop ini sangat menarik kerana penekanan pengarangnya mengenai bahasa Inggeris itu bukanlah faktor menentukan kejayaan sesuatu bangsa sebaliknya ilmu itu ada dalam setiap bahasa.

Naskhah yang sarat dengan pantun ini, turut menyingkap sejarah politik Pahang yang terperangkap dengan percaturan politik penjajah dengan pengkisahan Perang Bendahara (1857-1863).

Dokumen 136


Pertembungan dua kuasa penjajah, Inggeris dengan Jepun turut membabitkan pertarungan di angkasa. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Novel grafik tulisan Syafiq Ali’am mengangkat kisah Perang Dunia Kedua. Naskhah ini menjadi istimewa kerana keupayaannya memberikan pengalaman bacaan yang mengujakan.

Ia menyorot pertembungan antara dua kuasa penjajah, iaitu Inggeris dengan Jepun apabila kapal terbang British yang membawa dokumen sulit mengenai pasukan penentang negara Matahari Terbit itu terhempas di Hutan Lading.

Bagaimana, kumpulan pasukan ketiga tampil menghapuskan kedua-dua platun penjajah itu.

Pahlawan Adnan

Karya Zailiani Taslim yang boleh disebut sebagai biografi negarawan, Leftenan Adnan ini, dijelmakan sebagai novel sejarah.

Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, Adnan memimpin dua batalion Askar Melayu mempertahankan Singapura daripada serangan Jepun.

Meskipun Leftenan Adnan maut dalam usahanya itu, kecintaan dan perjuangannya terhadap negara seharusnya menjadi ingatan dan teladan.


Leftenan Adnan antara wira dalam perjuangan mempertahankan tanah air daripada serangan Jepun. Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Sayang Sarawak

Seperti Pahlawan Adnan, naskhah tulisan Idris Boi ini juga adalah novel sejarah namun mengangkat kisah suka duka Sarawak yang dijajah Inggeris menerusi James Brooke.

Naskhah ini merakamkan episod duka Sarawak yang gawat dengan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kalangan pembesar ditambah kegiatan pelanunan yang membuka peluang kepada Brooke berkuasa.

Aci Patmabi

Naskhah tulisan Azmi Merican ini tidak secara khusus mengangkat kisah kenegaraan. Sebaliknya ia menyingkap sisi gelap kehidupan orang Melayu di Pulau Pinang.

Patmabi ialah lambang orang Melayu yang dijatuhkan oleh bangsa sendiri, suami dan anak-anaknya kerana sikap suka berfoya-foya hingga jatuh miskin dan akhirnya terhalau dari tanahnya sendiri.

Republik Sungai Golok

Seperti Aci Patmabi, naskhah tulisan Isma Ae Mohamad ini juga tidak secara langsung menyentuh mengenai kecintaan kepada negara.

Bagaimanapun, ia memfokuskan mengenai emosi Ramlee sebagai Melayu yang mahu menumpahkan taat setianya pada Malaysia tetapi tidak mampu menipu sebahagian dirinya berada di Thailand.

Naskhah ini sebenarnya menyorot emosi warga di sempadan, orang Melayu Pattani yang dibelah kesetiaannya secara paksa akibat Perjanjian Inggeris-Siam 1909.

Cerita Perang Bariga

Tulisan Ruhaini Matdarin ini merekodkan pengalaman penjajahan Jepun yang berlaku di Borneo Utara yang disorot daripada sudut pandang Bariga.

Pengalamannya itu diceritakan kepada cucunya yang lahir daripada perkahwinan campur anaknya dan pasangan berdarah Inggeris.

Kisah ini sebenarnya mengingatkan kepada pembaca, walau apa pun tahap pencapaian kita hari ini, kesusahan masa silam menolak kejayaan kita pada masa kini.

Berita Harian X