Rabu, 4 September 2019 | 12:49pm
Novelis, Zuliana Abuas atau lebih dikenali sebagai Anna Lee. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cetek ilmu punca plagiat karya

KUALA LUMPUR: Hampir setiap tahun dunia sastera tanah air ‘bergegar’ dengan kes plagiat termasuk novel Lafazkan Cintamu karya Aida Adriani yang dihasilkan pada 2006 tetapi diterbitkan semula menjadi judul lain pada 2015.

Kemudian dua tahun lalu, ia muncul di media sosial apabila ada pengguna menyalin semula novel tulisan Nia Qurratuaini dan Siti Rosmizah tetapi berjaya dihentikan selepas pendedahan dibuat pembaca, selain turut dilaporkan BH.

Bagaimanapun, kali ini keadaannya menjadi lebih parah. Mana tidaknya, ada penulis baharu memuat naik karya orang lain di media sosial dan apabila mendapat tanda suka hampir 80,000 pembacaan, tulisan itu kemudiannya diterbitkan dalam bentuk fizikal.

Ini terjadi kepada novelis, Zuliana Abuas atau lebih dikenali sebagai Anna Lee apabila novelnya, Hello, Its Me diplagiat dan diterbitkan semula menjadi Misi Delaila oleh seorang penulis baharu.


Novelis, Zuliana Abuas atau lebih dikenali sebagai Anna Lee. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Anna Lee berkata, beliau tidak menyedari karyanya itu diplagiat hingga dimaklumkan pembaca. Lebih malang, novel plagiat itu sudah setahun diterbitkan, dimuat naik ke laman sosial dan memperoleh keuntungan lebih tinggi daripada karya asal.

“Dua minggu sebelum itu, sebuah lagi karya saya, Aku, Dia & Pinky Promise dimuat naik di media sosial termasuk kulit novel itu tetapi nama saya dibuang.

“Orang yang melakukannya sempat memuat naik hingga ke bab 30 sebelum saya menyedarinya dan memberi amaran. Beliau memohon maaf dan membuangnya daripada media sosial berkenaan.

“Bagaimanapun, kejadian kedua menimpa saya memang di luar jangkaan. Malah lebih mengejutkan, novel itu dicetak dan sudah terjual hingga 500 naskhah serta diulang dicetak untuk edisi kedua,” katanya.

Anna Lee berkata, penulis itu sebelum ini meletakkan karya itu di media sosial sebelum menjualnya dalam bentuk fizikal pada harga RM28 senaskhah, selain turut menjualnya dalam bentuk e-buku.

“Penulis itu menggunakan nama samaran dan beliau meniru tiga bab novel saya tanpa mengubah satu ayat pun, manakala sebahagian besar novel itu pula dibina keseluruhannya daripada idea saya.

“Apa yang membezakan adalah penulis itu memasukkan babak panas ke dalam novel dan pengakhiran berbeza tetapi secara keseluruhan, naskhah itu plagiat daripada novel saya,” katanya.

Anna Lee berkata, beliau menghubungi penerbit novel dan penulis itu tetapi hingga kini kedua-dua pihak tidak menghubunginya kembali malah tidak meminta maaf secara peribadi.

Sebaliknya, penerbit hanya memuat naik permohonan maaf di media sosial sebelum dinyah aktif.

“Kejadian ini tidak boleh dibiarkan kerana bayangkan mereka sudah menjual sebanyak 500 naskhah karya plagiat itu.

“Orang yang melakukan tindakan plagiat sampai kini tidak diketahui identitinya dan tidak mustahil akan melakukannya lagi dengan menggunakan nama lain pula,” katanya.

Beliau berkata, kekerapan isu plagiat terjadi tidak banyak menyedarkan masyarakat walaupun semakin ramai pembaca peka dengan isu ini.

Malah mereka menjadi mata dan telinga kepada penulis dengan membuat aduan sekiranya wujud kes begini.

Namun, masih ada yang melihat hal plagiat sebagai isu kecil dan perlu dimaafkan, malah orang yang melakukannya seolah-olah berasa bangga kerana membantu dalam mempromosikan karya itu.

Misalnya pada 2017, netizen yang memuat naik karya asal milik Nia Qurratuaini menggunakan alasan sudah membeli novel itu hingga menjadi haknya berbuat apa saja kepada kandungan novel berkenaan.


Pengarang sastera, Nisah Haron. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Justeru, kecetekan ilmu hak cipta dalam kalangan masyarakat itu ditegaskan penulis dan peguam, Nisah Haron, perlu diatasi dengan lebih banyak penerangan dibuat.

Nisah yang turut menjadi mangsa plagiat dua tahun lalu berkata, meskipun Akta Hak Cipta tidak melindungi idea tetapi luahan idea tertakluk dalam Akta Hak Cipta 1987.

“Mungkin ada orang yang mempunyai idea sama dengan kita, namun akan ada perbezaan luahan idea, justeru plagiat mudah dikesan jika seseorang mengambil ekspresi idea itu,” katanya.

Beliau berkata, ia pernah terjadi kepadanya apabila cerpen berjudul Konspirasi ditulis 15 tahun lalu, diplagiat dan dihantar ke sebuah akhbar (bukan kumpulan NSTP).

“Lebih teruk, cerpen plagiat itu menggunakan tajuk hampir sama dengan karya asal dan kedua-duanya mengenai dunia guaman.

“Cerpen saya mengenai pertarungan idea antara peguam dengan anak guamnya dalam mendefinisikan wanita dan maruah, manakala cerpen plagiat itu mengubah watak anak guam kepada kawan lama,” katanya.

Tambah Nisah, walaupun cerpen itu tidak meniru sepenuh karya asalnya, ekspresi idea dalam cerpen plagiat adalah sama dengan cerpen tulisan beliau.

“Kita perlu memahami plagiat tidak hanya bermaksud menyalin bulat-bulat, sebaliknya turut meliputi tindakan mengubah perkataan asal tetapi ekspresi ideanya sama,” katanya.

Berita Harian X