Sabtu, 7 September 2019 | 12:00pm

Jiwa seni Siti Zainon berputik sejak kecil

KUALA LUMPUR: Jiwa seni Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail, berputik sejak kecil dengan halaman rumah di kampung kelahiran, Kampung Gombak Batu 4 Suku, menjadi ‘kanvas’ pertamanya, manakala daun pisang menjadi kertas catatannya.

Siti Zainon berkata, beliau suka melukis dan menulis kerana ia menjadi sahabat sejak kecil, apatah lagi sebagai anak tunggal dipelihara nenek selepas ibu bapa berpisah, saya sudah terbiasa membuat kerja sendiri.

“Tanah di halaman rumah menjadi ‘mangsa’ cakaran karya ‘Siti Kecil’, iaitu gelaran saya pada zaman kanak-kanak.

“Karya saya Kasih Bonda: Kampung Paya Kami misalnya, mencatatkan rakaman kenangan lampau Siti Kecil yang penuh keindahan kerana sebagai sarjana, saya perlu membahagi-bahagikan antara menulis dengan melukis dan tidak mungkin hanya menumpukan satu perkara sepenuh masa,” katanya kepada BH di kediamannya di sini.


Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Siti Zainon berkata, ada pihak mengkritiknya kerana tidak banyak menghasilkan buku tetapi beliau berasa cukup menghasilkan apa termampu dan penuh jujur.

“Ini kerana setiap karya saya ialah hasil kajian dikutip daripada pengalaman hidup yang rencam,” katanya.

Menyoroti zaman persekolahan, Siti Zainon berkata, beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Setapak di ibu kota dan Sekolah Rendah Langgar, Kota Bharu sebelum ke Sekolah Menengah Aminudin Baki (SAB) pada 1962 hingga 1968.

“Saya masih ingat peristiwa Hari Pameran Ibu Bapa ketika di Tahun Enam Sekolah Rendah Setapak, saya duduk di tangga kerana sedih ibu bapa tidak hadir ke sekolah sedangkan semua murid lain ditemani orang tua masing-masing.

“Guru seni lukis, Zainudin Lapoh memujuk saya supaya melihat apa yang ada di dinding, rupa-rupanya lukisan saya bertajuk Kampung Saya sudah digantung di dinding sekolah.

“Ia menghilangkan rasa sedih, sunyi dan sepi Siti Kecil kerana lukisan itu turut ada lakaran ibu bapa saya. Sejak itu bakat seni saya digilap perlahan-lahan bermula dari melukis, menulis puisi, bersyair dan menari,” katanya.

Siti Zainon berkata, hanya satu perkara tidak mampu dilakukan, iaitu berbahas kerana sejak dari kecil beliau gagap.

“Saya tidak pandai mengeluarkan perkataan kemas dan tersusun rapi menyebabkan percakapan sering tersangkut-sangkut.

“Disebabkan kekurangan ini, saya sering menyorok di dalam bilik setiap kali sanak-saudara berkunjung ke rumah nenek di hari raya,” katanya.


Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pengkaji seni budaya Melayu, penyair dan pelukis itu berkata, minat mendalam terhadap seni lukis menyebabkan beliau mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Institut Seni Indonesia (ASRI), Yogyakarta dalam bidang Seni Lukis antara 1970 hingga 1973 dan menolak tawaran pengajian di Universiti Malaya (UM).

“Ketika di Tingkatan Enam, cikgu seni lukis, Idris Alam menggilap bakat melukis dan membawa saya menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung sekitar 1964 dan di situ saya mengenali pelukis, Latiff Mohidin dan Khalil Ibrahim.

“Bapa angkat saya yang juga pelukis dan pengarah filem, Nas Achnaz berusaha menganjurkan pameran lukisan sulung saya sempena pembukaan sebuah motel.

“Hasilnya, sebanyak 30 lukisan batik, pastel dan sketsa hitam putih saya dibeli dengan harga RM2,000. Selepas separuh wang jualan ditinggalkan untuk belanja ibu, mesin taip hadiah bapa tiri dan beg pakaian kecil, saya berangkat ke Indonesia berbekalkan RM1,000,” katanya.

Siti Zainon berkata, semangat dan keberanian menjejak bumi asing disebabkan rasa cinta tinggi terhadap seni lukis walaupun menyedari dunia pendidikan di rantau bukan mudah.

“Di Indonesia, saya menumpang di Sanggar Seni milik Seniman Indonesia, Saptohoedojo dan isterinya.

“Saya ingat pesan ibu, hidup merantau perlu bijak bawa diri dan jangan harap belas orang hingga menyebabkan saya nekad tidak terus menumpang dan berdikari.

“Takdir Allah SWT genap setahun di perantauan, ayah tiri yang mengirimkan wang saku RM100 sebulan kembali menemui Ilahi hingga ibu hanya mampu mengirimkan wang RM50 sebulan,” katanya.

Peristiwa itu menyebabkan, Siti Zainon lincah menghasilkan karya di jalanan dan masjid termasuk memanjat prambanan dan borobudur sebelum menjual karya itu kepada pelancong asing.

Selain itu, beliau mengambil upah menghasilkan rekaan baju untuk rakan sekampus, sekali gus dapat menambah wang saku menampung pengajian.

Ditanya tokoh dan idolanya dalam dunia seni lukis dan sastera, Siti Zainon berkata, beliau tidak mempunyai individu khusus kerana beliau mengagumi karya, bukan individu.

Bagaimanapun, beliau mengakui antara yang sering menjadi perhatian ialah novelis Indonesia, Mochtar Lubis; Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang dan seniman Indonesia, WS Rendra.

Bagi Siti Zainon, lukisan ibarat puisi yang dizahirkan bukan dalam penyusunan kata-kata tetapi puisi warna yang menjadikan beliau ghairah untuk melukis.

“Lukisan ialah wadah saya berbicara dan saya tahu ada orang cakap ‘syok sendiri’ tetapi sebagai guru dan pendidik, saya bercakap dari sudut pendidikan seni budaya.

“Oleh itu, saya memilih Yogyakarta kerana saya menemui banyak seniman yang intelektual, manakala bakat seni dan sastera berkembang seiring di sana,” katanya.

Berkongsi mengenai harapan dan impiannya terhadap dunia seni dan kesusasteraan tanah air, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebagai individu berlatar pendidikan, beliau mahu melihat dunia ilmu menerusi penghasilan buku tidak sekadar pasif di perpustakaan.

“Jika boleh, kita mahu ada kelab berinisiatif dalam kalangan remaja membicarakan karya, manakala buku SN yang dicetak dan diedarkan tidak boleh pasif di perpustakaan.

“Sudah tiba masanya untuk memperkasa aktiviti yang melincahkan pemikiran anak muda,” katanya.

Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X