Selasa, 17 September 2019 | 11:17am
Usaha penterjemahan dan pengedaran buku ke pasaran China disifatkan langkah bijak berdasarkan senario perkembangan pesat industri bukunya. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Tembusi pasaran buku China langkah bijak

KUALA LUMPUR: Usaha pengedaran karya ke pasaran China disifatkan langkah bijak berdasarkan senario perkembangan pesat industri buku di negara itu sejak lebih empat dekad lalu.

Gambaran pasaran buku yang memberangsangkan di negara itu antara boleh dilihat daripada laporan Books and Periodicals Distribution Association China.

Menurut laporan itu, republik berkenaan menutup tirai 2018 dengan 225,000 kedai buku dan cawangannya, sekali gus mencatatkan peningkatan 4.3 peratus berbanding 2017.

Usaha memanipulasi pasaran buku di negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia itu tentunya satu idea sangat menguntungkan.

Namun strategi pemasaran bagaimanakah yang benar-benar boleh menjayakan hasrat itu supaya usaha memasarkan karya ke China atau mana-mana negara sekalipun tidak hanya menjadi halwa telinga yang diulang-ulang saja.

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holding Berhad (Sasbadi), Law Khing Hui, mengakui bukan mudah untuk menarik perhatian pembaca China untuk membaca karya pengarang tanah air.

Sebagai penerbit kata Khing Hui, antara keutamaan perlu diberi perhatian ialah membuat kajian terhadap sasaran pasaran yang perlu dilakukan berpandukan data dan bukannya persepsi semata-mata.

“Penggunaan dan analisis terhadap data ini penting kerana kepelbagaian genre yang ada dalam pasaran menyebabkan kita tidak boleh menggunakan data yang sama.

“Produk yang berbeza sifatnya, memerlukan sifat dan strategi berlainan, justeru ciri komersialnya juga tidak sama.

“China memiliki data terperinci mengenai jualan bukunya. Maklumat dikumpul bukan hanya membabitkan genre terlaris dan penerbit saja malah mengandungi maklumat mengikut kumpulan umur pembaca,” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019, berkata Malaysia berhasrat meneroka kerjasama untuk memperkenalkan karya hebat sasterawan negara di China.

Khing Hui berkata, naskhah yang membawa unsur tempatan boleh menjadi elemen pelaris unik tetapi faktor lain termasuk ilustrasi menarik dan harga jualan buku di sana perlu diambil kira.

“Penerbit perlu membuat rujukan apa yang disukai pembaca daripada negara itu dan kemudian berbalik kepada keistimewaan kita dengan mengetengahkan unsur tempatan serta menjadikannya sebagai faktor pelaris,” katanya.

Sasbadi baru-baru ini berjaya memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MOU) dengan penerbit di China, iaitu People’s Education Press (PEP) di bawah Kementerian Pendidikan China bagi tujuan kerjasama dua hala.

Menurut Khing Hui, perkembangan pesat teknologi pada abad ke-21 menyebabkan kerjasama dengan penerbit lain menjadi keperluan dan bukan sekadar strategi untuk memahami pasaran.

Ini kerana katanya, dengan kecanggihan teknologi, masa diambil bagi membangunkan sesuatu produk semakin singkat, sekali gus menyebabkan jangka hayatnya dalam pasaran semakin pendek.

“Dalam hal penyediaan bahan bagi pelajar pendidikan khas misalnya, tanpa kerjasama Sasbadi terpaksa membangunkan bahan itu dengan sendiri.

“Proses ini memakan masa, malah kami perlu menubuhkan pasukan pakar dan membuat kajian berkali-kali.

“Bagaimanapun melalui kerjasama penerbit luar, semua proses ini tidak perlu dilakukan dari awal, sekali gus menjimatkan lebih banyak masa dan kos,” katanya.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan. - Foto NSTP

Sementara itu, Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, berkata kerjasama dengan penerbit tempatan di sesebuah negara akan memudahkan isu pengedaran dan penjualan karya negara ini di sana.

Tambah Anwar, kerjasama itu juga sepatutnya membuka peluang untuk karya tanah air tidak hanya diedarkan dalam bentuk terjemahan dalam bentuk buku saja sebaliknya dipindahkan ke platform media lain.

“Pihak China boleh mengambil karya mengenai kehidupan diaspora Cina dalam masyarakat Malaysia untuk dipindahkan ke pelbagai platform media termasuk filem dan siri televisyen untuk menarik perhatian masyarakat di sana,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan penulis dan pembicara dibawa ke negara itu bagi mempromosi karya berkenaan supaya nilai sesebuah karya dapat diketengahkan.

“Penting untuk mempunyai ejen di luar negara yang boleh melakukan kerja promosi sastera negara dan membantu mencari penterjemah baik untuk bahasa sasaran.

“Kerajaan juga perlu bersedia menyediakan sejumlah dana munasabah untuk mempromosi sastera kita ke luar negara.

“Jutaan ringgit boleh dihabiskan untuk sukan tetapi mengapa tidak diadakan peruntukan untuk memastikan sastera juga dapat dipromosi di medan antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X