Khamis, 3 Oktober 2019 | 12:03pm
Industri buku tanah air perlukan ‘talian hayat’ seperti baucar buku, dana untuk perpustakaan dan pelepasan cukai peribadi terhadap pembelian bahan bacaan seperti yang pernah ada sebelum ini. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Baucar buku, dana perpustakaan antara 'talian hayat' industri

KUALA LUMPUR: Suasana tenat yang melanda industri buku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menuntut perhatian serius kerajaan terutama menjelang pengumuman Belanjawan 2020, 11 Oktober ini.

Keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, budaya membaca yang meluntur dalam masyarakat dan peralihan kepada bahan bacaan digital meletakkan industri itu dalam keadaan kritikal, sekali gus memerlukan ‘talian hayat’ untuk terus berdaya saing.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata pihaknya berharap Belanjawan 2020 akan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan segera industri buku dengan mengembalikan semula polisi dan mekanisme yang pernah diwujudkan serta terbukti berkesan.

Beliau berkata, pihaknya tidak mencadangkan langkah atau mekanisme baharu kerana menyedari kekangan kewangan dihadapi kerajaan, sebaliknya memohon insentif dan polisi yang pernah dilaksanakan dikembalikan semula.

“Kami berharap kerajaan dapat mengembalikan inisiatif yang pernah dilaksanakan merangkumi pemberian baucar buku dan pelepasan cukai peribadi terhadap pembelian bahan bacaan sebanyak RM1,000, selain memulihkan dana untuk perpustakaan pelbagai peringkat.

“Semua ini adalah mekanisme pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu yang terbukti mampu melonjakkan ekosistem buku nasional.

“Polisi ini ‘hilang’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menyebabkan industri buku jatuh merudum,” katanya kepada BH di sini.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto NSTP

Mengulas kelembapan industri buku tanah air dan mekanisme pelan pemerkasaan bersesuaian, Arief Hakim Sani berkata, industri buku tanah air berhadapan dengan perubahan landskap ekonomi dunia, selain cabaran kebangkitan ekonomi negara serantau.

“Justeru, kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang paling penting untuk diberikan dana supaya dijadikan usaha nasional secara meluas dengan pembabitan kerjasama masyarakat dan kerajaan.

“Langkah ini mampu mentransformasikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berilmu, selain memastikan kerajaan terus komited memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga perlu melaksanakan lebih banyak program bahasa, sastera dan pembangunan kandungan penerbitan dalam bahasa Melayu.

“Ini bagi memastikan kerajaan melancarkan polisi dan insentif ekonomi untuk menjana permintaan domestik.

“Keadaan pasaran buku yang masih lembap ini memberikan kesan sangat besar kepada peruncitan buku dan agenda pemulihan ekonomi mesti dijadikan fokus utama dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Menyentuh mengenai Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC), Arief berkata, dana KLWBC sudah diputuskan kerajaan melalui jawatankuasa induk dipengerusikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sejak tahun lalu.

“Justeru, sebagai tambahan kepada sumber kewangan KWLWB, jawatankuasa pelaksana sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan dan sumbangan dari sektor swasta dan masyarakat untuk memperhebatkan lagi program KLWB.

“Kami sangat mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak yang berminat untuk menaja KLWBC," katanya.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto NSTP

Sementara itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pihaknya berharap kerajaan dapat menaikkan kadar royalti dan pengecualian cukai terhadap segala usaha pengkaryaan tanah air menerusi Belanjawan 2020.

“Malah, kita juga berharap kerajaan memberi peruntukan khas kepada semua gerakan sastera bersifat kebangsaan untuk membantu mempertingkatkan daya kreativiti seniman, karyawan dan sasterawan yang menyumbang kepada industri kreatif negara.

“Kerajaan juga boleh melaksanakan inisiatif membeli buku sastera untuk dibekalkan kepada sekolah dan perpustakaan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan membantu dan mengurangkan beban yang selama ini ditanggung pemain industri kesan daripada kelembapan industri buku tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, pihaknya enggan mencadangkan supaya program pemberian baucar buku dikembalikan kerana menyifatkan mekanisme yang pernah dilaksanakan itu ‘gagal’ dalam melonjakkan pasaran buku.

“Pada pandangan kami, ia (baucar buku) gagal dan lebih baik kerajaan wujudkan dana yang lebih besar untuk membekalkan buku di perpustakaan dan sekolah.

“Selain itu, kita juga berharap kerajaan menerusi Belanjawan 2020, dapat memberi perhatian serius untuk membantu ‘lalu lintas’ industri buku Malaysia-Indonesia terutama dalam isu pelepasan cukai terhadap pembelian buku luar,” katanya.

Berita Harian X