Khamis, 24 Oktober 2019 | 11:59am
Antara tinggalan binaan tamadun Yunani. - Foto ihsan MaxPixel

Greece tawar kursus tamadun, falsafah dan sastera Yunani

ATHENS: Buat pertama kali, universiti terkemuka di Greece menawarkan ijazah Bahasa Inggeris untuk menarik minat dunia untuk mempelajari tamadun Yunani.

National and Kapodistrian University of Athens menawarkan kursus peringkat siswa itu kepada 100 pelajar bermula September tahun depan.

Rektornya, Meletios-Athanassios Dimopoulos, berkata pihaknya mahu memperkasa generasi muda untuk mempelajari kebudayaan Yunani di tanah kelahirannya.

Pelajar dapat mengambil bahagian dalam eskavasi arkeologi sepanjang mempelajari sejarah, falsafah dan sastera Yunani.

Topiknya meliputi peradaban Minos dan Mycenaean, seni Yunani serta dunia Iskandar Agung serta pewaris dunia Yunani.

Pelajar juga mendapat akses kepada koleksi perpustakaan universiti itu yang terkenal, mengandungi 500,000 buku, manuskrip dan skrol yang sebahagiannya berasal daripada abad ke-16.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Greek, Niki Kerameus, berkata universiti dan kakitangan akademiknya tepat untuk mengajar peradaban, kebudayaan, sejarah dan kesusasteraan Yunani.

Kursus itu hanya dibuka kepada pelajar bukan Kesatuan Eropah (EU) dengan universiti menjangka banyak permintaan dari Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ia turut menarik minat dari Brazil, Indonesia, India dan negara Teluk.

Yuran kursus itu sebanyak 6,000 euro (RM28,000) setahun, tidak termasuk kos penginapan. - AFP

Berita Harian X