Selasa, 5 November 2019 | 11:05am
Pengarang Perancis, Jean-Paul Dubois (kiri) yang diumumkan memenangi anugerah sastera terulung Perancis, Prix Goncourt lewat novelnya, Tous les hommes n'habitent pas le monde de la même facon (All Men Do not Live in the World in the Same Way). - Foto AFP

Pengarang bermasalah pendengaran raih anugerah berprestij Perancis

PARIS: Pengarang bermasalah pendengaran, meraih anugerah sastera terulung Perancis, Prix Goncourt, sekali gus memetik kata-kata bekas bintang bola sepak, George Best selepas kemenangannya diumumkan.

Jean-Paul Dubois, 69, memparafrasa ungkapan terkenal pemain kelahiran Belfast itu, dalam majlis pengumuman hadiah di sebuah restoran di sini.

“Sangat gembira dapat berdiri di sini. Malah, sangat gembira hanya semata-mata dapat berdiri,” katanya.


Pengarang Perancis, Jean-Paul Dubois (kiri) yang diumumkan memenangi anugerah sastera terulung Perancis, Prix Goncourt lewat novelnya, Tous les hommes n'habitent pas le monde de la même facon (All Men Do not Live in the World in the Same Way). - Foto AFP

Bagaimanapun berbeza dengan Best yang mengungkapkan kata-kata itu kerana kaki botol, Dubois pula menderita akibat masalah dalam telinga hingga menyebabkannya mengalami pening.

Novel epik menyentuh perasaan dan berwarna-warni mengenai banduan merenung kembali kehidupan turut menyebabkan panel hakim ‘pening.’

Ini kerana buku Dubois bersaing dengan karya kegemaran disebut-sebut yang juga antara pengarang terlaris di Perancis, Amelie Nothomb hingga memperoleh enam undi berbanding empat.

“Saya sangat gembira dan terharu. Apa-apa sahaja boleh berlaku (dalam hidup),” katanya selepas novel baharunya, Tous les hommes n’habitent pas le monde de la meme facon (All Men Do Not Inhabit This World in the Same Way) diumumkan menang.


Pengarang Perancis, Jean-Paul Dubois yang diumumkan memenangi anugerah sastera terulung Perancis, Prix Goncourt lewat novelnya, Tous les hommes n'habitent pas le monde de la même facon (All Men Do not Live in the World in the Same Way). - Foto AFP

Dubois yang juga wartawan, memiliki sejumlah besar peminat karyanya seperti A French Life, iaitu novel saga mengenai generasi Baby Boom di Perancis yang dibentuk pemberontakan pelajar 1968.

Ia memenangi hadiah berprestij Femina pada 2004 dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris, tiga tahun kemudian.

“Saya tetap sama esok seperti hari ini,” katanya yang masih mendiami rumah kelahirannya di Toulouse.

Jenaka gelap turut tergambar dalam watak utama novel baharunya yang sedih dan nostalgia.

Kehidupan watak itu musnah disebabkan detik kegilaan yang menghantarnya ke penjara di Kanada, berkongsi sel dengan banduan Hells Angel yang mengancam untuk memotongnya kalau bertelingkah dengannya.

Supaya kekal waras, watak dinamakan Paul Hansen terpaksa berbicara dengan orang yang sudah mati dalam mindanya.

Ia termasuk mendiang pasangannya, Winona; juruterbang pesawat peluncur kacukan Ireland dan Orang Asli Amerika; anjing, Nouk; bapa yang juga paderi Denmark dan ibu berbangsa Perancis yang tidak teragak-agak menayangkan filem lucah di pawagamnya meskipun berkahwin dengan orang agama.


Pengerusi Panel Hakim Goncourt, Bernard Pivot (kiri) bersalaman dengan pengarang Perancis, Jean-Paul Dubois (kiri) yang diumumkan memenangi anugerah sastera terulung Perancis, Prix Goncourt lewat novelnya, Tous les hommes n'habitent pas le monde de la même facon (All Men Do not Live in the World in the Same Way). - Foto AFP

Sementara itu, Pengerusi Panel Hakim Goncourt, Bernard Pivot menyifatkan Dubois sebagai John Irving atau William Boyd versi Perancis yang menulis karya sangat menarik yang meraih populariti dan pujian pengkritik.

Beberapa pengkritik Perancis menobatkan novel itu sebagai karya terbaik Dubois.

Meskipun Dubois hanya menerima hadiah bernilai 10 euro (RM46), anugerah itu hampir pasti menjamin jualan sekurang-kurangnya 450,000 naskhah, sekali gus meletakkannya antara buku terlaris di pasaran tahun ini.

Selepas kemenangan Dubois diumumkan, hadiah yang sering dianggap sagu hati diberikan kepada Sylvain Tesson untuk novel The Snow Leopard, iaitu sorotan peribadi pencarian haiwan paling terancam di Tibet.

Tesson berharap ia dapat membantu manusia untuk menyelamat dan memahami haiwan berkenaan memerlukan bantuan pada masa ini.

“Saya berasa seolah-olah menjadi arnab yang ditarik keluar dari topi atau harimau bintang di dunia yang cuba diselamatkan,” katanya. - AFP

Berita Harian X