Selasa, 5 November 2019 | 5:43pm
Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat (kiri) bersalaman dengan Pengurus Besar Xiamen International Book, Shen Xianyang selepas Majlis Perasmian Seminar Hak Cipta Malaysia-China di Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

Penerbit China tertarik buku budaya Melayu, sejarah Malaysia

KUALA LUMPUR: Buku ilmiah Malaysia berpotensi untuk dipasarkan ke China jika lebih banyak usaha dibuat untuk memperkenalkannya.

Pengurus Besar Xiamen International Book, Shen Xianyang, berkata sebelum ini buku dari negara ini kurang dikenali di China tetapi ia bukan sahaja semakin diketahui, bahkan kualitinya diakui baik.

“Kunjungan ini menemukan saya dengan banyak buku baik dari Malaysia terutama buku ilmiah,” katanya kepada media selepas Seminar Hak Cipta China-Malaysia di sini.


Pengurus Besar Xiamen International Book, Shen Xianyang. - Foto Owee Ah Chun

Xianyang berkata, penerbit China berminat mendapatkan hak cipta buku berkaitan budaya Melayu dan sejarah Malaysia dalam usaha lebih mengenali negara ini.

Tambahnya, sebelum ini penerbit China lebih banyak tertumpu ke pasaran Thailand dan kedatangan itu buat pertama kali ke Malaysia.

“Namun, kami berharap akan dapat menjual banyak hak cipta dan membeli hak cipta dari Malaysia,” katanya.

Xianyang berkata, selain buku ilmiah, mereka turut melihat kemungkinan membeli hak cipta karya sastera dan buku kanak-kanak.


Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto Owee Ah Chun

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata pihak penerbit universiti perlu membuat lebih banyak kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membawa judul akademik ke pasaran luar negara.

Hal ini berdasarkan fakta selain buku kanak-kanak, karya akademik dilihat lebih berpotensi menarik minat penerbit.

“Buat masa ini, kami melihat hanya dua genre ini yang menarik perhatian penerbit. Buku terjemahan seperti buku sastera atau novel popular mungkin sukar untuk menembusi pasaran luar.

“Ini disebabkan pasaran tempatan untuk buku popular Melayu lebih besar berbanding di luar,” katanya.

Tambah Arief Hakim Sani, dalam keadaan ekonomi buku tempatan yang merudum, penerbit perlu lebih berani meneroka pasaran.

“Kami berharap tahun hadapan usaha seperti ini boleh dibuat dengan skala yang lebih besar misalnya dengan membawa masuk produk seperti animasi atau permainan komputer,” katanya.

Seminar yang menemukan lebih 60 penerbit dari China dan Malaysia adalah sebahagian projek jelajah penerbitan China ke Asia Tenggara.

Berita Harian X