Isnin, 11 November 2019 | 11:13am
Manuskrip Zaman Pertengahan Eropah dari Koleksi Arnamagnaean di Universiti Copenhagen yang kini menjadi rebutan dua negara. - Foto AFP/Suzanne Reitz

Denmark, Iceland berebut manuskrip Viking, dewa

COPENHAGEN: Kisah serangan Viking, sejarah Norse, raja dan dewa antara faktor menjadikan koleksi manuskrip Zaman Pertengahan Eropah tidak ternilai.

Isunya, koleksi yang diwasiatkan sarjana Iceland kepada Universiti Copenhagen, Denmark pada abad ke-18 itu, dituntut kembali oleh negara asal ilmuwan berkenaan.

Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai organisasi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengiktirafnya sebagai satu-satunya koleksi paling penting manuskrip zaman awal Scandinavia yang wujud.

Manuskrip paling awal ialah berasal daripada abad ke-12.

Sebahagian teksnya - dikenali sebagai Koleksi Arnamagnaean - sudahpun dikembalikan ke Reykjavik tetapi 1,400 dokumen masih tersimpan rapi di Copenhagen.

Permata koleksi itu ialah naskhah Heimskringla pada awal abad ke-15 yang hampir lengkap - saga raja Old Norse yang terbaik diketahui, asalnya ditulis pada abad ke-13 oleh penyair dan sejarawan Iceland, Snorri Sturluson.


Manuskrip Zaman Pertengahan Eropah dari Koleksi Arnamagnaean di Universiti Copenhagen yang kini menjadi rebutan dua negara. - Foto AFP/Suzanne Reitz

Tidak seperti kebanyakan manuskrip Zaman Pertengahan Iceland yang mempunyai sedikit hiasan bunga, versi Heimskringla itu memiliki jalinan huruf berwarna merah yang dilukis indah pada setiap halaman.

Koleksi Arnamagnaean Collection itu diberikan nama sempena sarjana, Arni Magnusson, iaitu sejarawan dan pakar sastera serta bahasa dilahirkan di Iceland tetapi meninggal dunia di Copenhagen pada 1730 yang turut mewariskan kira-kira 3,000 manuskrip.

Setiap dokumen daripada koleksi yang dipinjam daripada universiti itu, diinsuranskan hingga 5 juta kroner (RM3.05 juta).

Berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan bekas negara kolonial, Denmark membenarkan permintaan berulang Iceland supaya sebahagian koleksi itu dikembalikan pada dekad 1960-an dengan lebih separuh daripada manuskrip dipulangkan ke negara asalnya antara 1971 hingga 1997.


Gambar arkib menampilkan Presiden Iceland, Gudni Johannesson (tengah) yang melihat koleksi Manuskrip Arnamagnaean di Universiti Copenhagen ketika kunjungan rasminya ke Denmark pada Januari 2017. - Foto AFP

Pembahagian dokumen antara dua negara sejak bertahun-tahun tidak pernah menjadi kontroversi tetapi Menteri Kebudayaan dan Pendidikan Iceland, Lilja Alfredsdottir, mahu lebih banyak koleksi diserahkan kembali.

Beliau menarik perhatian mengenai isu itu dan mengaitkannya dengan pembinaan institusi baharu didedikasi kepada Magnusson yang menganjurkan pameran dokumen Zaman Pertengahan Eropah.

“Pihak kami fikir penting untuk menempatkan manuskrip itu di Iceland,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, profesor yang bertanggungjawab terhadap koleksi Universiti Copenhagen, Matthew Driscoll, membantah idea berkenaan kerana baki manuskrip terbabit ialah sebahagian warisan kebudayaan Denmark.

Dua negara itu memiliki persilangan sejarah dengan Iceland pernah berada di bawah pemerintahan Denmark antara 1600-an hingga ia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1944.

Driscoll berkata, Universiti Copenhagen bekerjasama rapat dengan Reykjavik, mendigitalkan semua karya dan membukanya kepada penyelidik.

“Koleksi ini tidak diperoleh secara haram atau dicuri, sebaliknya Arni memiliki manuskrip itu sama ada diberikan kepadanya ada membeli naskhah berkenaan.

“Beliau kemudian mewasiatkannya kepada Universiti Copenhagen mengikuti lunas undang-undang,” katanya.

Malah di Iceland sendiri, wujud perbezaan pandangan sama ada teks terbabit perlu dipulangkan atau tidak.

Profesor Kajian Zaman Pertengahan Universiti Iceland, Haraldur Bernhardsson, bersetuju terhadap keperluan menjadikan warisan kebudayaan boleh diakses oleh generasi masa depan.

Bagaimanapun, beliau menambah ia boleh dilakukan melalui kerjasama dengan Koleksi Arnamagnaean Collection di Copenhagen.

Menyimpan semua karya Iceland di Reykjavik akan mengehadkan jumlah sarjana dan ahli akademik untuk mengkajinya.

“Sekiranya kita benar-benar mahu meminta manuskrip Iceland dari luar negara, kita perlu mengutamakan manuskrip yang belum pernah dikaji.

“Sudah tentu, hal itu tidak berlaku untuk koleksi Arni Magnusson,” katanya.

Berita Harian X