Selasa, 12 November 2019 | 12:11pm
Tok dalang Syria, Walid Abu Rashed membuat persembahan boneka untuk kanak-kanak di Saraqib. - Foto AFP

'Tok dalang' Syria kongsi kegembiraan dengan kanak-kanak

SARAQIB, Syria: Walid Abu Rashed melangkah perlahan dengan melalui bangunan yang dibom di wilayah barat laut Syria yang hancur akibat perang, sambil membawa papan besar dan beg plastik mengandungi anak patung diekori ramai kanak-kanak.

‘Tok dalang’ teater anak patung bergerak berusia 26 itu, menawarkan kelegaan sementara dalam perang kepada kanak-kanak Saraqib, iaitu bandar dalam wilayah Idlib yang dikuasai golongan jihadis.


Tok dalang Syria, Walid Abu Rashed membuat persembahan boneka untuk kanak-kanak di Saraqib. - Foto AFP

Selepas waktu persekolahan, mereka berhimpun di antara runtuhan bangunan, bertepuk tangan ketika pelakon teater mula beraksi dari belakang tabir pentas bergerak dengan rambut palsu kuning menutup kepalanya.

Kanak-kanak yang dilelahkan oleh perang, menyanyi mengikuti runut bunyi dilontarkan daripada pembesar suara ketika boneka singa dan tikus muncul daripada lubang empat segi di tengah-tengah papan.

“Betapa indahnya untuk hidup dengan baik dan aman,” jerit kanak-kanak.

Ketika mengemas peralatan selepas persembahan itu, Walid berkata, teater itu menjadi bentuk penentangan.

“Teater sebahagian daripada budaya dan tamadun di Idlib. Saya akan berjuang menentang tirani melalui seni,” katanya kepada AFP ketika kanak-kanak di sekelilingnya ghairah bergambar.

Berhampiran, Mina Malak, 10, berkata persembahan itu memberikannya ketenangan yang sangat diperlukan.

“Persembahannya menggelikan hati kami. Ia membantu kami untuk melupakan pengeboman,” katanya.

Penentangan dan perpindahan akibat perang di Idlib membawa kekacauan kepada kanak-kanak, menghancurkan sekolah dan memisahkan keluarga ke seluruh negara.

Ratusan penduduk terpaksa berpindah sejak April tahun ini sahaja apabila kerajaan dan penyokongnya, Russia meningkatkan pengeboman maut ke atas wilayah enklaf dikuasai jihadis itu.

Menurut Save The Children, pengeboman bermula April lalu merosakkan atau menjejaskan sekitar 90 kemudahan pendidikan, manakala berdozen lagi digunakan sebagai tempat perlindungan kepada penduduk yang berpindah akibat keganasan.


Polis tentera Russia turut mengambil bahagian dalam rondaan ketenteraan di sempadan Syria-Turki. - Foto AFP

Gencatan senjata diumumkan Moscow pada 31 Ogos, mengurang serangan udara tetapi serangan dan tembakan tetap wujud sekali-sekala.

Sebelum konflik Syria tercetus pada 2011, Walid bercadang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Seni Dramatik di Damsyik - sekolah teater paling terkenal di negara itu.

“Saya pernah menang anugerah untuk pelakon teater terbaik di Idlib pada 2011 dan masa depan saya dalam seni baru bermula.

“Namun, saya memilih untuk bersama-sama dengan revolusi dan menyertai penunjuk perasaan kerana teater boleh menyampaikan mesej di bawah pemerintah menindas.

Beliau menyertai kumpulan pelakon teater dengan nama Magic Caravan.

Mereka mementaskan drama kepada kanak-kanak tidak lagi bersekolah yang menetap di kem pelarian berhampiran sempadan Turki, sebelum kumpulan itu dibubarkan pada 2014 selepas pengasasnya terbunuh akibat letupan bom regim yang digugurkan berhampiran kediaman Walid.

Beberapa bulan kemudian, Walid mengadakan persembahan boneka solo pertamanya di kem untuk pelarian di wilayah jiran, Latakia.

“Saya tidak dapat menahan tangisan apabila mendengar tepukan panjang selepas persembahan tamat.

“Pada saat itu, saya memutuskan untuk meneruskan persembahan di setiap tempat di Syria yang saya dapat kunjungi,” katanya.

Beliau sejak itu menjadi tulang belakang di Saraqib dengan bekalan kuasa sering terputus hingga kanak-kanak tidak lagi mempunyai sumber untuk berhibur.

Beliau mengingat kembali bagaimana perbualan dengan penonton ciliknya yang bertanya mengapa permainannya tidak bercakap seperti boneka Walid.

“Dia mendesak supaya alat permainannya turut menyertai persembahan berikutnya supaya mereka dapat belajar bercakap dan menari,” katanya.

Sementara Walid banyak membuat persembahan di luar, tok dalang itu baru-baru ini menjadikan ruang bawah tanah rumahnya sebagai tempat persembahan alternatif sekiranya berlaku pengeboman.

Berhimpun di luar rumah ketika serangan udara, beliau berkata, ibarat membunuh diri.

Namun, ia tidak menjejaskan semangatnya. “Saya berjanji persembahan ini tidak akan berhenti,” katanya.

Berita Harian X