Selasa, 12 November 2019 | 5:47pm
Novel Letters To God karya Norhafsah Hamid tersenarai dalam senarai panjang Anugerah Kesusasteraan Antarabangsa Dublin 2020. - Foto NSTP

Novel Malaysia tersenarai di anugerah sastera Dublin

KUALA LUMPUR: Novel Letters to God karya penulis Malaysia, Norhafsah Hamid disenaraikan dalam senarai panjang Anugerah Kesusasteraan Antarabangsa Dublin 2020.

Anugerah Kesusasteraan Dublin dalam kenyataan di laman webnya berkata, naskhah dicalonkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu tersenarai bersama 156 novel dari seluruh dunia untuk sesi penilaian 2020.

Letters to God diterbitkan pada 2018 Iman Publication ialah kisah pergelutan wanita muda, Sarah mengimbangi kehidupan, pekerjaan dan kerohanian serta berusaha menyesuaikan diri dengan persekitarannya.

Disebabkan perwatakannya sebagai gadis introvert, Sarah ‘menulis surat’ kepada Tuhan berkongsi mengenai kebimbangannya.

Norhafsah ialah peguam lulusan Universiti Reading, Britain dan pengasas organisasi wanita, Nadi Anissa.

Turut berada dalam senarai panjang ialah karya pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan yang baru diumumkan pada tahun ini, Olga Tokarczuk dan Peter Handke.

Tokarczuk yang juga pemenang Hadiah Man Booker Antarabangsa 2018 menerusi karyanya, Flight itu, dicalonkan menerusi karya Drive Your Plow over the Bones of the Dead, manakala Handke menerusi The Great Fall.

Pemenang bakal menerima €100,000 (RM457,294), iaitu hadiah tahunan paling tinggi di dunia untuk satu karya fiksyen diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Sesi pemilihan kali ini, sekretariat turut menerima 50 novel dalam terjemahan daripada 21 bahasa dari 40 negara.

Anugerah Kesusasteraan Antarabangsa Dublin dianjurkan Majlis Bandar Raya Dublin sejak 1994.

Berita Harian X