Isnin, 25 November 2019 | 1:48pm
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pindaan akta tahun depan tajamkan 'taring' DBP

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan mampu memberi taring kepada entiti bahasa itu menjalankan penguatkuasaan terhadap sebarang isu pelanggaran atau ketidakpatuhan bahasa Melayu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, berkata pindaan itu diyakini mampu memacu usaha meletakkan DBP setaraf dengan Institut Goethe, Jerman dan British Council, United Kingdom (UK).

“Pihak Lembaga Pengelola DBP sudah bersetuju supaya akta ini dipinda. Sejurus draf pindaan siap, kita akan memanjangkannya kepada Kementerian Pendidikan sebelum dibawa ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya kepada BH di sini.

Abang Salehuddin berkata, tiga perkara dicadangkan dalam pindaan Akta DBP itu meliputi pemberian kuasa penguatkuasaan, memperkasa peranan DBP ke peringkat antarabangsa dan membolehkan institusi bahasa itu menubuhkan perbadanan bagi menjalankan aktiviti perniagaan tanpa halangan.

“Melalui pindaan itu, DBP boleh mengambil tindakan lebih berkesan terhadap sebarang isu ketidakpatuhan, pengabaian atau keengganan pihak tertentu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Abang Salehuddin berkata, pihaknya berpendapat sudah tiba masanya DBP diberi kuasa penguatkuasaan untuk membendung isu ketidakpatuhan penggunaan bahasa Melayu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengakui konsep ‘dakwah’ yang sebelum ini dipraktikkan DBP sudah tidak lagi berkesan.

“Hakikatnya, kita memang tidak gemar untuk menjadi badan pendakwa kerana DBP sebelum ini lebih cenderung kepada ‘badan pendakwah.’

“Namun, selepas 20 tahun kita melakukan dakwah dan saya rasa sudah sampai masanya DBP diberi kuasa untuk memastikan peraturan (berkaitan bahasa) ini dipatuhi semua pihak.

“Kita perlu menggunakan pendekatan undang-undang lebih tegas kerana bimbang jika isu ini dibiarkan, pada masa akan datang tidak ada siapa lagi yang menghormati bahasa Kebangsaan,” katanya.

Namun katanya, pihaknya sedar proses pelaksanaan pindaan akta itu akan mengambil masa agak panjang kerana perlu melalui pelbagai peringkat.

“Selepas mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan dan Kabinet, ia akan dibawa ke Parlimen dan di sini cabaran paling besar sama ada pindaan itu diterima atau sebaliknya.

“Namun, saya yakin ahli Parlimen akan menyokong (pindaan Akta DBP) sebagai menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abang Salehuddin berkata, pindaan itu juga dapat memperkasa usaha mengantarabangsakan DBP setaraf British Council dan Institut Goethe seperti dimpikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, buat masa ini, DBP tidak dapat memainkan peranan agresif pada peringkat antarabangsa memandangkan akta sedia ada hanya khusus untuk dalam negara semata-mata.

“Malah, kita juga tidak boleh menempatkan pegawai kita di luar negara kerana akta sedia ada masih belum membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan perbadanan, Abang Salehuddin berkata, usaha itu penting untuk membolehkan DBP menjalankan perniagaan secara lebih berkesan.

“Dengan kata mudah, pindaan Akta DBP nanti akan membenarkan DBP menubuhkan syarikat bagi aktiviti pemasaran, pengedaran, percetakan dan penerbitan.

“Sekarang ini kita tidak mempunyai syarikat dan sebagai agensi kerajaan, keadaan itu akan menyebabkan DBP berdepan halangan tertentu untuk menjalankan perniagaan yang berkesan,” katanya.

Berita Harian X