Isnin, 25 November 2019 | 7:55pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson turut dikritik dan dicemuh novelis detektif paling laris di dunia, Lee Child. - Foto AFP/Daniel Leal-Olivas

Pencipta watak Jack Reacher tukar kerakyatan kerana Brexit

DUBLIN: Novelis detektif paling laris di dunia yang mencipta watak Jack Reacher, Lee Child mahu menukar kerakyatan kepada Ireland untuk memudahkannya bergerak dalam Kesatuan Eropah (EU).

Child mengambil keputusan itu disebabkan isu Brexit.

Pengarang British yang nama sebenarnya James Grant itu berkata, beliau dalam proses memohon pasport kerana bapanya dilahirkan di Belfast, Ireland Utara.

“Saya akan memperoleh pasport itu dengan segera. Saya berasa sedang menipu untuk menjadi jujur kerana masuk melalui pintu belakang.

“Saya bukanlah peminat tegar Britain walaupun lahir di negara itu. Ia negara yang melucukan dan mengecewakan hingga mendorong saya berpindah ke Amerika,” katanya seperti dipetik Irish Times.

Child dilahirkan di Coventry, England, bercakap di Berlin dalam rangka lawatan empat kota Eropah bersama-sama tiga pengarang British, iaitu Kate Mosse, Jojo Moyes dan Ken Follett.

Mereka berbicara membantah tindakan Britain keluar dari EU seperti dikehendaki Perdana Menteri, Boris Johnson berlaku sebelum 31 Januari - sekiranya beliau menang majoriti dalam pilihan raya umum, bulan depan.

Pengarang itu berkata, Johnson yang mengikuti pengajian di institusi berprestij, iaitu Kolej Eton dan Universiti Oxford ialah produk istimewa daripada sistem elit.

“Sekiranya beliau mengikut pengajian di sekolah saya, beliau mungkin tidak akan menjadi perdana menteri,” katanya.

Juara sastera British yang karya jenayahnya terjual setiap 13 saat itu, diberikan anugerah oleh Queen Elizabeth II, Jun lalu. - AFP

Berita Harian X