Jumaat, 27 Disember 2019 | 7:06pm
Buku Maqalat karya Shamsuddin Tabrizi menjelaskan makna hakikat kewujudan yang difahami dalam pandangan alam bersifat tauhidik. - Foto NSTP
Buku Maqalat karya Shamsuddin Tabrizi menjelaskan makna hakikat kewujudan yang difahami dalam pandangan alam bersifat tauhidik. - Foto NSTP
Rumi and His Friends: Stories of the Lovers of God Excerpts from the Manaqib al-'Arifin of Aflaki diterjemah oleh Camille Adams Helminski dan Susan Blaylock. - Foto NSTP
Rumi and His Friends: Stories of the Lovers of God Excerpts from the Manaqib al-'Arifin of Aflaki diterjemah oleh Camille Adams Helminski dan Susan Blaylock. - Foto NSTP

Memahami hubungan cinta hakiki ahli sufi

MAULANA Shamsuddin Tabrizi atau Shams al-Tabriz sentiasa menjadi ‘watak’ yang menjadi enigma dan membingungkan terutama khalayak dari luar wilayah sufi seperti pembaca Barat.

Adakalanya Shams al-Tabriz diberikan personifikasi seperti watak antinomian yang menolak peraturan tegar dalam agama dan bebas daripada sempadan akhlak.

Tidak hairanlah Shams al-Tabriz bersama-sama Maulana Jalaluddin Rumi diberikan gambaran yang asing daripada syariah, malah sampai ke tahap bebas daripada Islam itu sendiri hingga diangkat oleh kelompok membawa idea pluralisme dan transidental agama.

Hakikatnya, Shams al-Tabriz bukan watak enigma atau antinomian sebaliknya bagi khalayak yang biasa dengan tradisi dan sejarah sufi, beliau tergolong dalam kelompok malamatiyah.

Malamatiyah menyembunyikan hakikat diri sebagai ahli sufi dan memiliki ilmu sebenar hingga biasanya kesalahan dan kekurangan diri terserlah serta ada kalanya dipertontonkan secara sengaja.

Justeru, tipa atau corak kelompok ahli sufi berasal dari wilayah Khurasan itu, sering dianggap mistik dan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menyamar demi mengelak daripada menerima implikasi undang-undang.

Bagaimanapun, Shams al-Tabriz yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bermazhab Shafie, tidak terpisah daripada wilayah syariat dan pada masa sama berada di bawah kolong langit hakikat yang menuju ke arah makrifat hakiki, iaitu mengenal Allah SWT.

Buku Rumi’s Sun: The Teaching of Shams of Tabriz karya Shamsuddin al-Tabriz. - Foto NSTP
Buku Rumi’s Sun: The Teaching of Shams of Tabriz karya Shamsuddin al-Tabriz. - Foto NSTP

Hal itu jelas dapat dibaca dalam terjemahan karya penting Shams al-Tabriz, iaitu Maqalat yang diterjemah sebagai Rumi’s Sun: The Teachings of Shams of Tabriz oleh Refik Algan dan Camille Adams Helminski.

Membaca buku ini dapat meluruskan kefahaman kita terhadap hubungan Shams al-Tabriz dengan Rumi yang melangkaui pertalian guru-murid, selain memahami naratif kerohanian dan idea kesatuan yang bersifat tauhidik.

Pandangan Shams al-Tabriz seperti juga Rumi sebenarnya tidak berbeza dengan kefahaman ulama sufi seperti Imam Abu Qasim Muhammad al-Junaid, Imam Abu Hamid al-Ghazali atau Ibnu Arabi.

Meskipun kedua-dua tokoh itu sering digandingkan dengan ahli sufi seperti Bayazid al-Bistami dan Mansur al-Hallaj yang kontroversi terutama bagi golongan literalis serta liberal, mereka akhirnya merujuk kepada hakikat kewujudan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa dan hakikat hamba tidak mempunyai apa-apa hatta diri sendiri.

Hubungan Shams al-Tabriz dan Rumi juga boleh dianggap menterjemah hadis tujuh golongan yang mendapat naungan Arasy di akhirat, iaitu dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT, berkumpul serta berpisah kerana-Nya juga seperti mafhum hadis Sahih Bukhari yang diriwayatkan Abu Hurairah RA.

Maqalat asalnya pengajaran yang diberikan Shams al-Tabriz dan direkodkan secara bertulis tetapi terjemahan ini mengemukakan format dalam bentuk perenggan dan seksyen memiliki judul.

Teks asal ialah manuskrip berbahasa Parsi ditulis Ayashli Shakir yang menjadi koleksi Muzium Mevlana di Konya, Turki tetapi dipindahkan ke Ankara.

Penyusunan dalam buku ini memudahkan pembacaan untuk menyusuri pengajaran Shams al-Tabriz yang turut mengandungi anekdot daripada fragmen hubungannya dengan Rumi, kisah ahli sufi dan cerita rakyat yang biasa ditemukan dalam penulisan genre sufi.

Bagi pembaca umum, ada baiknya buku ini dilapiskan dengan buku Rumi - Past and Present, East and West: The Life, Teachings, and Poetry of Jalal al-Din Rumi oleh Franklin D Lewis, malah lebih penting bersama Mathnawi karya agung oleh Rumi itu sendiri.

Sebagai tambahan, Maqalat juga patut dibaca bersama-sama Manaqib al-Arifin yang ditulis Ahmad Aflaki, iaitu pengikut cucu Rumi. Manaqib al-Arifin turut diterjemah Helminski bersama Susan Blaylock sebagai Rumi and His Friends: Stories of the Lovers of God Excerpts from the Manaqib al-'Arifin of Aflaki.

Lebih penting, membaca Maqalat seperti juga karya sufi lain, tidak boleh seperti gelas penuh dengan batu, sebaliknya dengan perasaan rendah diri dan berasa diri masih banyak belum diketahui serta menyusurnya dengan pandangan alam Islam sebenar yang bersifat holistik.

Sekiranya menepati prasyarat itu, barulah kita sebagai pembaca dapat mencicip dan meneguk pengetahuan kerana Maqalat menawarkan pancaran kilat yang sedikit sebanyak membantu kita melihat dengan lebih jauh dalam perjalanan hidup yang biasanya gelita serta berliku.

* Penulis ialah Pengarang Sastera & Agama BH

INFO

Rumi’s Sun: The Teachings of Shams of Tabriz

Pengarang: Shamsuddin al-Tabriz

Penterjemah: Refik Algan dan Camille Adams Helminski

Halaman: 448

Penerbit: Threshold Books

Penilaian: 5

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X