Rabu, 22 Januari 2020 | 2:31pm
SUASANA lorong di belakang sebuah bangunan yang ceria dihiasi contengan dan lukisan mural di Jalan Penjara. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUASANA lorong di belakang sebuah bangunan yang ceria dihiasi contengan dan lukisan mural di Jalan Penjara. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Lukisan mural ubah persepsi negatif lorong belakang

KANGAR: Lazimnya lorong belakang bangunan sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif seperti kotor, berbau dan terdedah dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Namun, Persatuan Pelukis Negeri Perlis mengubah persepsi itu apabila menghasilkan 25 lukisan mural yang mampu menarik pengunjung di lorong belakang bangunan di Jalan Penjara di sini.

Pengerusinya, Yaakob Abd Aziz, berkata beliau bersama 14 pelukis lain mengambil inisiatif itu supaya suasana lorong belakang agar lebih ceria dan terbuka kepada masyarakat.

BEBERAPA pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar pada lukisan mural di belakang sebuah bangunan di Jalan Penjara. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
BEBERAPA pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar pada lukisan mural di belakang sebuah bangunan di Jalan Penjara. NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Beliau berkata, projek yang mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Perlis itu bermula sejak Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

“Masyarakat tahu keadaan lorong yang sunyi dan kelam terdedah kepada elemen kejahatan hingga ia sering dimomokkan sebagai sarang aktiviti tidak bermoral.

“Kami mencabar diri sebagai pelukis agar melakukan perubahan melalui hasil mural pada bahagian belakang bangunan,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Yaakob berkata, setakat ini lukisan mural hampir siap dan hanya mengambil masa untuk melakukan proses kekemasan lukisan.

“Ini kerana ada beberapa lukisan menampilkan beberapa ikon dan tokoh di negeri ini seperti pelawak terkenal, Allahyarham Yusri Edo atau lebih dikenali sebagai Pak Yus Jambu dan Awang Batil.

“Jadi saya berharap beberapa kawasan hitam yang sering mendapat julukan persepsi negatif dapat diubah menjadi destinasi yang mampu menjadi tarikan pengunjung,” katanya.

Berita Harian X