Jumaat, 8 Mei 2020 | 8:32pm
Lukisan terbaru Banksy hargai perjuangan petugas kesihatan hadapi COVID-19. - Foto AFP/BANKSY Instagram
Lukisan terbaru Banksy hargai perjuangan petugas kesihatan hadapi COVID-19. - Foto AFP/BANKSY Instagram

COVID-19: Lukisan Banksy hargai petugas kesihatan

LONDON: Karya seni baharu seniman jalanan tersohor, Banksy dipamerkan di sebuah hospital di sini, menghargai perjuangan petugas perubatan menentang pandemik COVID-19.

Artis itu juga memuat naik imej karya seninya di Instagram yang memaparkan gambar budak bermain anak patung jururawat yang mengenakan mantel adiwira.

Karya berjudul Game Changer itu gambar budak itu bermain dengan anak patung mengenakan seragam jururawat, manakala anak patung Superman dan Batman berada dalam bakul di sebelah.

"Terima kasih terhadap segala apa yang anda lakukan. Saya berharap lukisan ini akan memberikan sedikit sinar di tempat ini walaupun ia hanya dalam warna hitam putih," katanya dalam nota yang ditujukan kepada petugas hospital.

Lukisan yang digantung di dinding koridor di sebuah hospital di Southampton, England itu, akan dipamerkan kepada umum selepas langkah perintah berkurung ditamatkan, kata jurucakap Banksy.

Ia juga akan dilelong dalam usaha mengumpul dana untuk kebajikan yang berkait dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di negara itu.

Karya seni seniman misteri itu pernah dijual jutaan dollar.

Angka kematian COVID-19 di Britain pada minggu ini, mengatasi Itali dengan korban melebihi 32,000 mangsa, sekali gus berada pada kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat (AS). - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X