Sabtu, 16 Mei 2020 | 6:52pm
Menteri Kesihatan, Rudolf Anschober. - Foto AFP
Menteri Kesihatan, Rudolf Anschober. - Foto AFP

Austria benarkan produksi filem, pawagam, acara budaya skala kecil

VIENNA: Acara kebudayaan dengan kapasiti hingga 100 penonton akan dibenarkan untuk dianjurkan bermula akhir bulan ini dalam rangka Austria mula melonggarkan perintah berkurung disebabkan COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan dikritik kerana gagal memberikan perancangan untuk membuka sektor kebudayaan yang penting dengan Setiausaha Kerajaan Hal Ehwal Kebudayaan, Ulrike Lunacek meletak jawatan, semalam.

Tidak beberapa lama selepas peletakan jawatan itu, Menteri Kesihatan, Rudolf Anschober dalam sidang media yang agak tergesa-gesa, mengumumkan acara dengan kapasiti hingga 100 penonton akan dibenarkan bermula 29 Mei ini.

Jumlah penonton akan dibenarkan hingga 250 orang bermula 1 Julai ini, manakala pawagam juga akan dibuka.

Bermula 1 Ogos pula, acara dengan 500 penonton akan dibenarkan.

Acara besar hingga 1,000 penonton juga akan dibenarkan bermula 1 Ogos dengan syarat penganjur menyediakan langkah keselamatan yang memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.

Festival Muzik dan Drama Salzburg yang berprestij akan diadakan Ogos ini tetapi format dikecilkan dan tidak mengandungi banyak sambutan yang sebelum ini dirancang untuk menyambut ulang tahun ke-100.

Kerajaan juga mengumumkan akan menyiarkan rangka kerja untuk latihan seni persembahan dan produksi filem bagi meminimumkan penularan COVID-19.

Sektor budaya pada minggu ini menuntut pelan menyelamatkan industri itu termasuk ganti rugi terhadap kerugian tiket.

Lunacek yang juga ahli Green Party dan bekas Naib Presiden Parlimen Eropah, dikritik hebat kerana kerajaan dianggap tidak memberikan sokongan mencukupi untuk acara seni dan seniman.

Lunacek berkata, beliau terpaksa mengakui tidak dapat melakukan apa-apa lagi kerana tidak diberikan peluang.

Muzium dan perpustakaan mula dibuka semalam dalam proses melonggarkan perintah berkurung mula diambil pertengahan April lalu.

Negara dengan jumlah 8.8 juta penduduk itu, merekodkan lebih 16,000 kes positif COVID-19 dengan 628 kematian. - AFP

Berita Harian X