X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 11:56am
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menerima cenderahati berupa potret beliau daripada pelukisnya Elias Mohd di kediaman Menteri Besar Seri Setia hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menerima cenderahati berupa potret beliau daripada pelukisnya Elias Mohd di kediaman Menteri Besar Seri Setia hari ini. - Foto BERNAMA

Terengganu jejaki penggiat seni, pakar sains 'Anak Ganu'

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan merangka strategi menjejak, mengumpul dan mengiktiraf anak Terengganu berjaya agar bakat serta kebolehan mereka dijadikan inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata beliau yakin ramai anak tempatan hebat sama ada dalam seni budaya dan lukis atau memiliki kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Ahmad Samsuri berkata, perjalanan hidup dan kejayaan dikecapi anak Terengganu dalam kerjaya serta hasil karya seni mereka akan didokumentasikan dan dipamerkan buat tatapan umum.

Beliau berkata, ia bertujuan menghargai kebolehan luar biasa anak negeri yang mungkin terpinggir sebelum ini meskipun bakat mereka diiktiraf di peringkat dunia.

"Ramai anak Terengganu berpotensi dan hebat di luar sana. Sudah sampai masanya kita 'kumpulkan' mereka untuk diceritakan kepada semua.

"Saya bertekad menjejak kembali anak negeri berkebolehan ini. Kita akan mendokumentasikan dan memaparkannya untuk diketahui seluruh warga Terengganu dan Malaysia di mana-mana galeri yang sesuai," katanya ketika ditemui BERNAMA di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menerima kunjungan pelukis, Elias Mohd, yang juga anak jati Terengganu dan pernah dipilih menjadi antara pelukis utama Diraja Belanda dari 2013 sehingga 2016.

Sebelum ini, lukisan potret beberapa pemimpin negara yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 termasuk Ahmad Samsuri dengan hanya menggunakan pensil warna, tular di media arus perdana serta media sosial.

Ahmad Samsuri berkata, pertemuan itu membuka mata dan menjadi titik tolak kepada hasratnya, malah beliau mengakui kebolehan dan pencapaian Elias sangat luar biasa dan mampu menjadi inspirasi kepada anak tempatan untuk terus menerokai minat masing masing.

Elias, 62 menjadi antara tenaga pengajar dalam seni arca dan seni reka seramik di akademi seni pembuatan seramik di Amsterdam.

Beliau juga mengadakan lebih 30 pameran solo di seluruh dunia dan pernah terpilih menjadi pelukis rasmi pada Temasya Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol pada 1992, bersama enam pelukis profesional Belanda lain.

Beliau pulang ke negara ini untuk menyertai pameran arca di ibu kota tetapi acara itu dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini berada di kampung kelahirannya Kijal, Kemaman.

Selain Elias, seorang lagi anak Terengganu yang tular sejak semalam ialah Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain, 52, yang juga satu-satunya pakar dari Malaysia dalam bidang kesan enapan racun makhluk perosak ke atas makanan, yang bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2012.

Anak kelahiran Dungun itu juga panel pakar Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Dunia (FAO), yang bertanggungjawab menggariskan tahap selamat kesan enapan racun perosak dalam makanan di seluruh dunia.

Berita Harian X