Jumaat, 24 Julai 2020 | 7:08pm
Pengarang yang juga pelarian Kurdish-Iran, Behrouz Boochani dapat suaka dari New Zealand. - Foto Agensi
Pengarang yang juga pelarian Kurdish-Iran, Behrouz Boochani dapat suaka dari New Zealand. - Foto Agensi

Pengarang Kurdish-Iran dapat suaka New Zealand

WELLINGTON: Pelarian Kurdish-Iran yang memenangi anugerah dengan karya ditulis dengan telefon bimbit ketika ditahan di Australia, akhirnya mendapat suaka di New Zealand.

Behrouz Boochani berada di New Zealand sejak November lalu ketika memohon status pelarian selepas menyertai festival sastera untuk berkongsi pengalaman ditahan di Australia yang mengamalkan dasar imigrasi ketat.

Imigresen New Zealand dalam kenyataan berkata, permohonan Boochani diluluskan, sekali gus membolehkan beliau menetap di negara itu.

"Boochani disahkan sebagai pelarian berdasarkan Konvensyen 1951 dan Protokol 1967," katanya dalam kenyataan ringkas tanpa mendedahkan perincian lanjut kerana maklumat peribadi.

Laporan itu menyebut keputusan diberikan kepada Boochani, semalam, sempena ulang tahun kelahirannya ke-37.

Sementara itu, Boochani dalam wawancaranya dengan stuff.co.nz berkata, keputusan masa depannya di negara itu memberikan kekuatan kepadanya, sekali gus berasa lebih yakin meneruskan proses kreatifnya.

Boochani gigih menghasilkan karya No Friend But The Mountains dengan menggunakan WhatsApp ketika ditahan di pusat tahanan imigresen di Pulau Manus di Papua New Guinea.

Beliau diselamatkan dari bot yang hampir karam di perairan Australia pada 2013 dan ditahan di Papua New Guinea kerana dasar Canberra yang menghalang pencari suaka yang menggunakan jalan laut daripada menjejakkan kaki ke Australia.

Karyanya meraih pelbagai anugerah termasuk pengiktirafan sastera termahal di Australia, Hadiah Sastera Victorian Prize.

Sementara itu, Jurucakap Hak Asasi Green Party, New Zealand, Golriz Ghahraman, berkata keputusan pelarian itu menunjukkan negara berkenaan mengamalkan keadilan dan belas kasihan.

"Mereka melarikan diri daripada penyeksaan dan penindasan berasaskan agama, bangsa serta aktiviti politik berhak mendapat perlindungan. Kami mengalu-alukan Behrouz sepenuh hati," katanya.

Boochani dilaporkan bekerja sebagai penyelidik di Universiti Canterbury di Christchurch.

Beliau melarikan diri dari Iran ke Indonesia pada 2013 apabila majalah Kurdish yang menyiarkan tulisannya diserbu oleh tentera kerana menerbitkan artikel antikerajaan. - AFP

Berita Harian X