Rabu, 30 Mei 2018 | 9:14pm

DBKL hendaklah berdiri teguh isu kapit tayar

SEJAK akhir-akhir ini banyak isu diperkatakan mengenai pelaksanaan sistem kapit tayar di Kuala Lumpur yang dibangkitkan oleh segelintir ahli-ahli Parlimen.

Saya sebagai pengguna ingin menyentuh perkara ini kerana saya percaya semua warga kota pernah terbabit secara atau tidak langsung sistem yang hangat diperkatakan.

Saya sendiri pun adalah pesalah yang pernah dikenakan kapit tayar dan saya membayar yuran terbabit tanpa sebarang bantahan.

Bagi saya keadaan persekitaran Kuala Lumpur adalah amat tidak terkawal di mana kereta-kereta diletakkan sesuka hati di pili bomba, siar kaki, di simpang-simpang jalan malahan terdapat juga di pusingan bulatan.

Secara umum, amat mudah kita persalahkan jumlah petak yang didakwa sebagai tidak mencukupi. Namun pada pandangan saya ia kurang tepat.

Masalah ini turut disebabkan oleh sikap pengguna warga kota yang mementingkan diri sendiri. Mereka hendak meletakkan kenderaan masing-masing paling hampir dengan premis yang mereka lawati.

Mereka tidak mahu berjalan kaki meskipun terdapat petak-petak yang kosong namun berada jauh sedikit dari destinasi terbabit.

Selain itu, saya hairan kenapa seawal jam 9 pagi, petak-petak parkir sudah hampir penuh.

Saya sendiri pernah tengok kenderaan yang sama dari pagi hingga ke petang menggunakan petak untuk jangka masa yang panjang.

Mengikut keratan akhbar-akhbar yang saya baca, 70 peratus daripada pemilik kenderaan yang menggunakan petak tidak membayar caj tempat letak kereta. Bagi saya ini adalah amat keterlaluan.

Semestinya bila mereka tidak membayar, mereka akan parkir untuk tempoh yang lama.

Saya sebagai pengguna kedua yang datang ke kawasan terbabit akan menghadapi kesukaran kerana petak-petak telah dipenuhi oleh kumpulan-kumpulan ini.

Sudahlah tidak membayar caj parkir, seterusnya menggunakan petak untuk tempoh yang lama dan menafikan hak pengguna-pengguna yang lain.

Saya juga terbaca bahawa pihak DBKL telah mengambil tindakan mengeluarkan kompaun ke atas kenderaan-kenderaan terbabit.

Namun amat mendukacitakan kerana sebahagian besar kompaun-kampaun ini tidak dibayar.

Ini jelas menunjukkan pengguna yang tidak membayar caj parkir juga orang yang sama tidak membayar kompaun yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ternyata golongan ini adalah pengguna yang tidak bertanggung jawab, mementingkan diri sendiri dan paling teruk, tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang.

Maka pada pandangan saya kapit tayar adalah amat wajar. Inilah satu-satunya langkah yang dapat mengajar dan mendisiplinkan golongan-golongan tersebut bagi menghormati hak-hak orang lain untuk menggunakan petak letak kereta.

Mereka tidak boleh mementingkan diri sendiri semata-mata sebaliknya dalam situasi jumlah kenderaan yang amat banyak memasuki bandaraya kuala lumpur, petak-petak yang terhad tersebut sepatutnya dikongsi bersama dan bukan dijadikan hak milik persendirian.

Saya berharap pihak DBKL tidak berganjak dan teruskan dengan operasi kapit yang telah berjaya mereka laksanakan.

Walaupun ia dilaksanakan oleh anggota-anggota Penguatkuasa DBKL dan ditadbir urus oleh pihak konsesi parkir di mana mereka mendapat 65 peratus dari hasil terbabit, biarkan.

Mereka telah melaksanakan tugas dengan baik dan langkah tersebut telah menampakkan keberkesanannya. Saya sangat berharap pihak DBKL jangan berundur dengan tekanan-tekanan luar kerana mereka tidak memahami apa yang DBKL lalui.

Sekiranya keadaan trafik di bandaraya Kuala Lumpur telah menjadi bercelaru seperti di negara dunia ketiga, pihak DBKL juga yang akan dipersalahkan dan menjadi sasaran kritikan.

Maka DBKL hendaklah berdiri teguh dan mempertahankan sesuatu sistem baik yang telah terbukti berkesan.

Anak Bung Cili Padi

Berita Harian X