Rabu, 25 Julai 2018 | 11:01am
Anggota bomba perlu dilatih menangani kebakaran dan bencana di kawasan metropolitan. - Gambar hiasan

Kenaikan gaji, elaun khas hargai tugas bomba

Kesediaan kerajaan mengkaji cadangan menaikkan gaji anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu disokong semua pihak kerana tugas mereka kini dilihat semakin mencabar dan sama penting seperti anggota keselamatan lain.

Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bahawa kerajaan mungkin memasukkan kenaikan itu dalam bajet pada tahun depan menunjukkan kepentingan isu berkenaan.

Beliau turut dilaporkan berkata keputusan pemberian elaun khas RM200 sebulan kepada setiap pegawai dan anggota JBPM akan diketahui hujung bulan ini.

Saya percaya semua warga JBPM mengharapkan khabar gembira kerana kertas kerja berkaitan perkara itu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dan kini sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan.

Elaun khas RM200 itu disyorkan oleh bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada 21 Mac lalu bagi mengiktiraf usaha dan kerja bomba dan penyelamat menangani bencana yang meletakkan agensi itu setanding agensi penguatkuasaan lain.

Syor itu menunggu perlaksanaan sekarang oleh pentadbiran baharu.

Sekiranya diluluskan, elaun itu akan memberi manfaat kepada 14,761 warga kerja JBPM membabitkan peruntukan kira-kira RM35.4 juta setahun.

Mungkin masih ramai di antara kita yang tidak memahami mencabarnya tugasan dan beban kerja anggota JBPM kerana mereka selalunya hanya dikaitkan dengan operasi memadam kebakaran semata-mata.

Ketika saya menjadi wakil rak-yat, saya bekerja rapat dengan pihak bomba untuk membantu mangsa banjir dan juga kebakaran. Ketika mereka bertungkus-lumus memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa banjir, saya pula sibuk membantu mangsa untuk mendapatkan tempat tinggal sementara, serta memohon semula dokumen yang musnah dalam kebakaran atau banjir.

Tahun demi tahun, hubungan saya semakin rapat dengan anggota bomba dan saya amat memahami tugas berat yang digalas mereka demi untuk masyarakat.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh saya, selain memberi khidmat pencegahan dan pemadaman kebakaran, jabatan itu turut bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek keselamatan dan memadam kebakaran serta menyediakan khidmat kemanusiaan yang cekap dan berkesan.

Khidmat kemanusiaan

Untuk memenuhi objektif itu, JBPM melaksanakan fungsinya mengikut peruntukan di bawah seksyen 5(1) & (2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) seperti menentukan adanya jalan keluar kebakaran, menyiasat punca kebakaran serta menyediakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya bencana.

JBPM juga perlu melaksanakan tugas lain yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh undang-undang atau diarahkan menteri.

Hubungan akrab JBPM serta laporan mengenai pelbagai pertolongan yang diberikan kepada masyarakat menyebabkan mereka sering dihubungi untuk operasi menyelamat ketika kemalangan jalan raya dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Anggota bomba juga sering terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat untuk kejadian kes sesat di hutan dan lemas.

Keupayaan anggota JBPM dalam operasi sebegini tidak boleh dipertikaikan kerana mereka mempunyai peralatan yang sesuai seperti alat pemotong hidraulik untuk membebaskan mangsa kemalangan yang tersepit dalam kenderaan.

JBPM juga mempunyai anggota yang berkemahiran menyelamatkan haiwan peliharaan, menangkap binatang berbisa atau memusnahkan sarang tebuan dan lebah.

Bagaimanapun, saya percaya lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan mereka agar mampu menangani cabaran baharu seperti mana yang dapat kita lihat dalam operasi menyelamat pelajar dan jurulatih bola sepak yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dinaiki air, di wilayah Chiang Rai, utara Thailand baru-baru ini.

Kebakaran di bandar

Pada masa yang sama, anggota bomba juga perlu dilatih untuk menangani kebakaran dan bencana di kawasan metropolitan kerana semakin banyak bangunan pencakar langit dengan pelbagai jenis bahan binaan baru dibina bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk pembangunan sumber manusia JBPM agar mereka mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan berkesan untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Modul latihan perlu dikemas kini bersesuaian dengan peredaran masa dan warga JBPM terpilih perlu dihantar menyertai latihan dan operasi sebenar di luar negara.

Peruntukan juga diperlukan untuk pembelian jentera dan peralatan yang canggih manakala peralatan perlindungan diri terkini, perlu dibekalkan untuk kegunaan anggota JBPM.

Lebih banyak pasukan bomba komuniti dan pasukan Pasukan Tindakan Kecemasan yang professional dan cekap juga perlu ditubuhkan untuk bertindak segera, ketika berlakunya sebarang insiden kecemasan.

Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilaksanakan untuk meningkatkan keselesaan di tempat kerja dan perumahan warga JBPM, agar mereka dapat bertugas dengan penuh komitmen, manakala keluarga mereka dapat hidup dalam suasana kondusif.

Masanya telah tiba untuk kita memberi penghargaan sewajarnya kepada warga JBPM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi memastikan keselamatan orang lain, terutamanya ketika kebakaran dan bencana alam.

Tan Sri Lee Lam Thye
Aktivis sosial

Berita Harian X