Jumaat, 3 Ogos 2018 | 8:13am
FAKULTI Pengurusan Seni dan Budaya ASWARA mempersembahkan upacara perubatan tradisional Melayu, Main Puteri "The Forgotten Heritage' di Panggung Eksperimen ASWARA, Januari lalu. - Foto Rosdan Wahid

ASWARA bentuk pelajar berilmu seni, budaya, warisan

APABILA premis institusi seni berada di jantung ibu kota, itu menandakan suatu simbiosis sihat antara budaya dengan kehidupan masyarakat moden. Pada Julai lalu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara rasmi memberi hak milik dua lot tanah di Kuala Lumpur kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), iaitu kampus sekarang.

ASWARA bermula dengan nama Akademi Seni Kebangsaan pada 1994, kira-kira 24 tahun yang lalu. ASWARA menawarkan kursus akademik dalam pelbagai bidang seni dari peringkat asasi, diploma hinggalah ke tahap doktor falsafah. Sejumlah 28 program ASWARA telah mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kampus seni di ibu kota memberikan pelbagai kelebihan. Dalam hubungan ini kerajaan baharu memperlihatkan keprihatinan yang tinggi terhadap perkembangan seni, di premis yang nilai tanahnya sangatlah mahal. Bagi pelajar pula, mereka berpeluang membabitkan diri dengan syarikat produksi, stesen televisyen serta tokoh seni di Kuala Lumpur.

ASWARA menarik minat pelajar pelbagai kaum yang utama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka bukan saja datang dari sekolah aliran perdana, ada juga pelajar yang datang dari sekolah vernakular. Walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang pendidikan, di ASWARA mereka disatukan melalui kesedaran terhadap seni, budaya dan warisan bangsa yang diajar secara sistematik.

Bagi menjamin program yang ditawarkan di ASWARA mendapat pengiktirafan, ASWARA bekerjasama erat dengan MQA. Sejak 2010 sebanyak 28 program akademik di ASWARA mendapat pengiktirafan MQA.

Jiwa sesebuah bangsa

Ini membabitkan program yang ditawarkan di Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Fakulti Muzik, Fakulti Tari, Fakulti Penulisan Kreatif, Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, Fakulti Teater, Fakulti Animasi dan Multimedia, Fakulti Filem dan Televisyen, Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, dan Pusat Pengajian Pascasiswazah yang menawarkan ijazah peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Seni menjadi jiwa sesebuah bangsa. Keunikan serta keunggulan sesebuah bangsa turut dicirikan oleh seni bangsanya. Kita melihat negara industri yang maju tetap memelihara serta mengembangkan seni budaya bangsa mereka. Mereka juga mengeksport produk seni dan budaya melalu pelbagai cara dan pelbagai platform.

Di ASWARA, kami membentuk pelajar yang berilmu seni, budaya dan warisan. Mereka didedahkan kepada pelbagai seni warisan melalui bimbingan adiguru dan pensyarah yang berkaliber sebagai ahli akademik atau yang mewaikili industri.

Mereka juga dibimbing untuk meneroka perkembangan seni yang baharu, yang lebih bersifat sejagat. Tidak cukup dengan itu para pelajar juga dihantar untuk mengikuti latihan industri, untuk mengalami ekosistemnya yang sebenar.

Semua itu dilakukan bagi membentuk penggiat seni yang berilmu, berpengetahuan dan berketrampilan. Dengan khalayak yang semakin pintar dan canggih, seseorang karyawan seni tidak boleh lagi bergantung kepada bakat semata-mata.

Tiga dimensi pengetahuan yang harus dikuasai oleh seseorang karyawan masa kini ialah menjiwai ilmu, berfikir sebagai seorang budayawan, dan mampu bertindak sebagai seorang usahawan. Aspek-aspek ini turut didedahkan kepada pelajar ASWARA.

Jadi karyawan seni

Sejumlah graduan ASWARA memperlihat kualiti yang dibentuk melalui proses pendidikan mereka di ASWARA dulu. Mereka berjaya menjadi karyawan seni, sebilangannya bekerja sendiri dengan penuh bangga dan keyakinan dalam bidang yang mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran.

Graduan ASWARA boleh menyumbang kepada industri kreatif negara yang sedang pesat berkembang. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyatakan industri kandungan kreatif negara ini sehingga 2016 berupaya menghasilkan pendapatan sehingga RM7.6 bilion untuk tempoh empat tahun, sekali gus menyumbang kepada RM1.17 bilion jumlah jualan eksport industri.

Industri kreatif, atau industri budaya membabitkan aktiviti ekonomi penciptaan atau penggunaan pengetahuan dan informasi. Ia juga sebagai ekonomi kreatif kerana membabitkan perniagaan berasaskan teori penawaran dan permintaan. Industri ini bertitik tolak dari daya kreativiti individu atau kumpulan, dengan pelajar ASWARA dilatih untuk memahami dan menguasainya.

Perkembangan baharu ini mungkin menjadi faktor utama meningkatnya minat pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah untuk menyertai ASWARA. Sejak penubuhannya, pengambilan pelajar sesi 2018/2019 mencatatkan jumlah permohonan tertinggi, iaitu seramai 1,850 pelajar.

ASWARA ialah institusi yang turut menggerakkan industri kreatif dan kandungan kreatif secara terancang, sistematik dan bermatlamat.

ASWARA ialah institusi terulung di negara ini yang menerajui pengajaran dan pembelajaran lengkap ekosistem seni persembahan, serta dalam bidang seni, budaya dan warisan. Graduan ASWARA ialah bakat yang sangat tinggi nilainya bagi Malaysia.

Penulis adalah Rektor, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

Berita Harian X