Sabtu, 24 November 2018 | 10:50am
Perhatian sewajarnya daripada anak membantu warga emas menjalani hidup berkualiti pada hujung usia. - Foto hiasan

Anak mesti prihatin kebajikan ibu bapa

Sering kita terdengar kisah warga emas yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya, malah dibiarkan hidup melarat dalam persekitaran yang menyedihkan. Di Malaysia, warga emas ditakrifkan mereka berumur 60 tahun ke atas berpandukan takrifan yang dibuat dalam World Assembly On Ageing 1982 di Vienna, Austria.

Hati saya amat tersentuh apabila terbaca kisah golongan berusia yang terabai, terutama mereka masih mempunyai anak atau saudara mara.

Sebagai seorang yang bakal menyambut ulang tahun ke-72 akhir tahun ini, sudah tentu saya sebak apabila mengetahui ada rakan seusia dibiarkan hidup berseorangan, manakala sesetengah yang lain ditinggalkan di hospital, rumah kebajikan atau perhentian bas oleh anak atau saudara mereka sendiri.

Ketika bertemu warga emas pada pelbagai program di seluruh negara, ramai antara mereka mengadu kesedihan apabila anak atau saudara-mara langsung tidak melawat atau bertanya khabar. Ada antara mereka lebih muda atau tua daripada saya, namun hidup dalam kesedihan kerana menghidapi penyakit dan diabaikan keluarga.

Perkara ini sudah lama berlaku dan saya berpengalaman mengendalikan kes sedemikian ketika menjadi Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1990-an.

Ketika itu, saya terpaksa meminta bantuan pihak swasta menyelesaikan bil perubatan, makanan dan mencuci tempat tinggal 12 warga emas yang ditinggalkan di HKL.

Pengabaian warga emas atas alasan anak sibuk bekerja menyebabkan emosi ibu bapa terganggu, berisiko mengalami kemurungan dan seterusnya mengakibatkan nyanyuk atau demensia.

Tindakan undang-undang

Pakar Geriatrik Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebanggsaan Malaysia, Dr Hazlina Mahadzir, baru-baru ini mencadangkan akta khusus diwujudkan bagi membela nasib ibu bapa yang ditinggalkan sendirian di kampung.

Beliau menjelaskan, perbuatan tidak melawat atau menghiraukan ibu bapa di kampung dianggap satu bentuk pengabaian dan seharusnya dikenakan tindakan undang-undang bagi mengelak anak melupakan tanggungjawab terhadap orang tua mereka.

Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti, kita terpaksa memperkenalkan undang-undang sebegini, namun perkembangan negatif yang berlaku kebelakangan ini mungkin mewajarkan tindakan drastik bagi mengelak warga emas terabai.

Jika sebelum ini kita sentiasa berbangga dengan budaya Timur yang terkenal dengan sikap bersopan santun dan amat menghormati orang tua, nilai murni itu sebenarnya semakin luntur akibat pelbagai sebab, termasuk tekanan akibat peningkatan kos hidup.

Ramai berpendapat, jika ibu bapa didakwa kerana mengabaikan anak mereka, tindakan sama sepatutnya boleh dikenakan terhadap anak yang tidak mempedulikan ibu bapa masing-masing.

Sebagai anak, kita perlu ingat bahawa ibu bapa kita yang tinggal sendirian berisiko mengalami kemalangan seperti terjatuh atau menjadi mangsa jenayah, juga boleh berhadapan masalah kesihatan mental seperti mengalami kemurungan serta nyanyuk.

Malaysia kini sedang dalam proses menjadi negara tua apabila 7 peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030. Sudah tentu kita harus berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran berkaitan.

Memandangkan kos sara hidup dijangka meningkat pada tahun akan datang, penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial, termasuk membolehkan warga emas yang sihat dan berpengalaman bekerja.

Kita boleh mencontohi pendekatan yang diambil negara lain yang memperkenalkan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka.

Negara juga harus mempunyai program keselamatan sosial yang lebih komprehensif kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan orang tua tidak mencukupi.

Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan perlu diwujudkan untuk menjaga kebajikan warga emas yang diabaikan ahli keluarga, terutama yang menghidap penyakit.

Kita perlu membantu warga tua untuk kekal dalam masyarakat dengan menyediakan pusat penjagaan dan hospital harian, kelab sosial, pusat pemulihan dan kaunseling serta khidmat nasihat, skim sukarelawan dan kejururawatan ke rumah.

Kewujudan sukarelawan Homehelp Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai contoh, banyak membantu mengatasi kesunyian golongan warga emas di kawasan kejiranan yang melaksanakannya.

Di bawah program itu, sukarelawan akan membuat lawatan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan, selain memantau kesihatan dan perkembangan warga emas
di kawasan mereka.

Sistem sokongan

Sistem sokongan yang membabitkan masyarakat setempat ini secara tidak langsung akan dapat menjadikan jiran tetangga lebih prihatin mengenai masalah dan keperluan warga emas yang tinggal berhampiran.

Matlamat utama kita untuk memastikan warga emas dapat menjalani hidup berkualiti pada hari terakhir usia mereka. Namun, apa yang sebaik-baiknya kita lakukan ialah kembali menghayati dan mengamalkan nilai murni, termasuk menghormati dan menjaga orang tua yang bersusah-payah membesarkan kita.

Pandang wajah dan tenung mata mereka yang semakin hari semakin lemah itu. Jangan diabaikan ibu bapa kerana mereka yang membolehkan kita lahir di dunia dan menjadi insan berguna.

Percayalah, jika kita melayani ibu bapa dengan baik, suatu hari nanti, anak kita juga akan memberi layanan sama kepada kita.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis sosial

Berita Harian X