X
Selasa, 5 March 2019 | 2:04pm
Antara projek bagi menaik taraf kemudahan di Taman Negara Johor Pulau Kukup, Pontian. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Antara projek bagi menaik taraf kemudahan di Taman Negara Johor Pulau Kukup, Pontian. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Usah pilih kasih bangkit isu alam sekitar

Baru-baru ini kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuduh Johor lembab menangani isu alam sekitar.

Mereka mendakwa isu Pulau Kukup dan pembangunan di Sungai Pulai sebagai indikasi kerajaan negeri tidak mementingkan alam sekitar dan sanggup merobek khazanah alam demi pembangunan.

Namun, lupakah golongan ini isu di negeri lain yang sehingga kini mereka masih berdiam diri?

Contohnya Kilang Lynas dan perlombongan bauksit di Pahang, projek tambak laut untuk membina ‘Marina Bay’ Malaysia di Pulau Pinang, pembersihan hutan di Perak untuk perladangan, pembalakan tidak terancang di Kelantan, pembinaan lebuh raya di Selangor merentasi hutan simpan serta pembinaan kondominium di kawasan diwartakan seperti di Taman Rimba Kiara di Kuala Lumpur.

Di mana suara mereka atau kenyataan bersama NGO dalam isu ini?

Sebagai anak Johor, saya pelik pendekatan ‘pilih kasih’ NGO ini. Adakah ini bermakna mereka digunakan pihak tertentu?

Bukan semua pembangunan patut dijalankan tanpa mengira kedudukan alam sekitar. Saya juga berpendapat keseimbangan harus menjadi keutamaan dan pembangunan perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Contohnya, tidak salah sebahagian kawasan Sungai Pulai dibangunkan jika memenuhi proses ditetapkan seperti kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar.

Impak pembangunan

Laporan ini sepatutnya sudah cukup sebagai kayu pengukur kepada impak pembangunan terhadap alam sekitar. Jika ketetapan sudah dipenuhi, kenapa perlu menidakkan potensi kawasan dan limpahan kemajuan yang bakal dirasai, seperti peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan pelancongan.

Begitu juga isu Pulau Kukup apabila kerajaan negeri dilempar pelbagai tohmahan, walhal penukaran status kepada tanah sultan dibuat atas dasar memastikan kawasan itu kekal terpelihara.

Kejayaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan di taman lain di bawah kelolaan Sultan seperti Taman Laut Sultan Iskandar wajar dipertimbangkan, demi menjaga kepentingan Pulau Kukup.

Sultan Johor sendiri mempertahankan bahawa Pulau Kukup akan kekal sebagai taman negara. Dasar ini sudah lama diguna pakai di United Kingdom di mana taman awam menjadi hak milik Raja.

Saya menyeru NGO bersikap lebih adil dan tidak terlalu taksub menentang agenda kerajaan negeri untuk memajukan Johor.

Bantahan tanpa mengira manfaat dan kelangsungan agenda untuk memajukan negeri hanya merugikan rakyat Johor kelak.

Fadhli Abd Rahman,
Johor

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X