X
Khamis, 23 Januari 2020 | 12:45pm

G25, JAKIM perlu duduk semeja

PEMBENTANGAN bertajuk Hal-hal Pentadbiran Berkaitan Dengan Islam oleh Kumpulan bekas penjawat awam kanan dikenali G25, baru-baru ini, mengkritik perkara dilaksanakan kerajaan terdahulu dan masih diteruskan kerajaan semasa dalam hal berkaitan orang Islam dan agama Islam.

Kritikan keras turut diberikan terhadap institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan undang-undang murtad yang diamalkan di negara ini.

Secara asasnya, penulis bersetuju pendapat Tan Sri Dr Asiah Abu Samah, selaku pengerusi jawatankuasa dan pembentang dalam majlis itu. Beliau menyatakan hak untuk mempercayai sesuatu perkara adalah antara manusia itu dan Tuhan yang dipercayainya.

Namun, pada masa sama, penulis berasakan dalam mengkritik dan menyeru agar kebebasan beragama dilaksanakan selaras Perlembagaan Persekutuan, G25 gagal untuk mengambil kira unsur sentimen, penerimaan dan pendapat masyarakat majoriti di negara ini yang kebanyakannya berhaluan konservatif.

Seruan dan kritikan G25 ini tidak dinyatakan dengan baik atau bersesuaian keadaan semasa. Langkah diambil juga akan dilihat masyarakat umum sebagai provokasi terhadap Islam, walaupun pada dasarnya pembentangan dilakukan mungkin berniat baik atas tujuan tertentu.

Penolakan terus terhadap fungsi JAKIM dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam di Malaysia (MKI) tidak patut dinyatakan. Sewajarnya G25 melihat Islam di negara ini lebih mendalam, iaitu menilai bukan sahaja daripada konteks amalan kepercayaan itu sendiri ataupun penguatkuasaan undang-undang Islam yang diketuai Raja-Raja Melayu di setiap negeri sahaja.

Mereka harus melihat umat Islam daripada konteks sosioekonomi, politik dan adat budaya orang awam bergelar Muslimin.

Penolakan total terhadap JAKIM menyatakan penubuhan institusi itu tidak selaras Perlembagaan juga pandangan tidak tepat. Sungguhpun Perkara 11 Perlembagaan Negara menyatakan setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, kita tidak wajar melupakan Perkara 3 yang jelas menyatakan Islam agama bagi Persekutuan.

Konteks ini, jika dilihat daripada satu sudut, Islam itu mempunyai tempat dalam Malaysia dan sifatnya bukan diada-adakan untuk tujuan rasmi sahaja, tetapi wujud sebagai wadah untuk pentadbiran negara ini.

Dalam keadaan dunia dan masyarakat sedang bergolak kini, institusi seperti JAKIM, pejabat mufti dan jabatan agama Islam negeri amat diperlukan, menjadi tempat berautoriti untuk rujukan sahih yang diterima pakai semua pihak.

G25 perlu sedar, isu agama atau hal berkaitan agama dekat dengan masyarakat. Bagi kebanyakan Muslim, setiap perkara dilakukan perlu selaras agama dan kepercayaan mereka. Jika ada pelanggaran atau kekhilafan dalam perkara ini, mereka perlukan satu tempat rujukan yang memberikan jawapan jelas.

Ini bukan hanya isu kepercayaan atau iman seseorang individu sahaja, tetapi membabitkan keselamatan dan keharmonian masyarakat umum.

Dengan wujudnya media sosial, kita dapat melihat golongan ustaz atau cerdik pandai agama muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada antara mereka benar-benar bagus dalam menjalankan usaha dakwah, manakala ada yang menggunakan ruang terbuka luas ini untuk membohongi masyarakat semata-mata tujuan songsang.

Jika ini tidak dikawal institusi agama diiktiraf kerajaan, amat sukar untuk kita mengawal fahaman mereka daripada terus tersebar.

JAKIM dan jabatan agama negeri selain memberikan jawapan kepada persoalan mengenai ilmu fiqh dan hal berkaitan Islam, juga bertindak sebagai benteng kepada ektremisme dan ideologi pengganas yang semakin menular dalam kalangan umat Islam dunia.

Jika JAKIM dan institusi sepertinya tidak wujud, pengaruh kumpulan pengganas seperti Daesh, ISIS dan Abu Sayyaf, sudah tentu dapat menyusup ke dalam negara lebih mudah, kerana golongan ini menggunakan nama Islam untuk menyebarkan ideologi jahat mereka.

Penulis percaya, JAKIM atau mana-mana institusi berkaitan agama di Malaysia tidak maksum dan banyak penambahbaikan harus dilaksanakan bagi membolehkan mereka memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya Muslim di negara ini.

Institusi agama di Malaysia boleh menjadi tali penghubung masyarakat Muslim dan bukan Muslim, mereka juga berupaya menjadi pencetus tajdid (pembaharuan) dalam pemikiran orang Islam di negara ini.

Dalam hal ini JAKIM perlu lebih terbuka. Mereka harus sedia bertemu dan berbincang dengan mana-mana pihak demi keharmonian rakyat Malaysia secara amnya. Kita perlu bersatu padu sebagai Muslim di negara ini dan tidak mengambil jalan mudah dengan melabel sesuatu pihak itu jumud, liberal, ekstrem atau sesat.

Jika seseorang itu mengaku dirinya Muslim, maka kita sudah berkongsi syahadah sama. Tidak kira apa pandangan yang berbeza, hakikatnya jelas, kita adalah saudara sesama Islam.

Lebih baik G25 bekerjasama dengan JAKIM atau mana-mana institusi agama di negara ini dalam mencari penyelesaian permasalahan dialami orang Islam.

Ahli G25 yang berpengalaman luas dan pengemudi JAKIM yang pakar dalam ilmu agama Islam diharap dapat duduk semeja dan berbincang secara kolektif untuk mendapat satu konsensus yang menguntungkan ummah tanpa sebarang tuduhan melulu, cercaan dan provokasi.

Penulis adalah aktivis masyarakat dan alam sekitar

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X