Khamis, 6 Februari 2020 | 7:33am
Mahasiswa dilihat mempunyai kelebihan tersendiri melakukan perubahan dalam masyarakat. - Foto hiasan
Mahasiswa dilihat mempunyai kelebihan tersendiri melakukan perubahan dalam masyarakat. - Foto hiasan

Mahasiswa nadi penggerak masyarakat bertamadun

DALAM era serba moden, peranan mahasiswa lebih komprehensif. Mahasiswa sering dijadikan ‘bayangan’ untuk melihat pemimpin masa hadapan.

Hanya aspek intelektualisme dan spiritualisme dapat melonjak peribadi mahasiswa ke tahap lebih tinggi. Mereka perlu berani keluar untuk membantu masyarakat dalam pelbagai perkara.

Membina dan menyatakan pendirian bernas dapat meleraikan kekusutan dihadapi masyarakat. Bersikap profesional dalam menangani persoalan dan isu nasional. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua mahasiswa dengan amanah dan ikhlas.

Untuk membentuk tamadun manusia disegani, kita perlu memperbaiki dan meningkatkan kualiti generasi muda. Mahasiswa juga golongan muda yang mempunyai idealisme, boleh membantu mempercepatkan proses ini.

Generasi muda seharusnya mempunyai sikap cintakan ilmu. Masyarakat bertamadun bermula dengan kecintaan mereka kepada ilmu. Itulah cabaran terbesar mahasiswa masa kini.

Dalam kesibukan dengan permainan maya, Instagram, Telegram, YouTube dan sebagainya, masa menimba ilmu sudah semakin singkat. Mereka sepatutnya memilih membuat perkara lebih mendatangkan faedah.

Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang adalah inti pati pembangunan sesebuah tamadun manusia. Golongan mahasiswa dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk melakukan perubahan dalam masyarakat.

Kebijaksanaan dalam menyampaikan pendapat yang realistik, menjadikan seseorang mahasiswa lebih dekat kepada komuniti.

Sebagai bakal pemimpin masa hadapan, mahasiswa diharap dapat memperbaiki dan meningkatkan nilai kepemimpinan. Untuk menjadi seorang pemimpin, mereka perlu mahir membaca gerak-geri dan tingkah laku orang bawahannya. Dalam konteks sebuah daerah, negeri atau negara sekali pun, pemimpin perlu bijak mengatur strategi untuk menjalin hubungan dengan masyarakat dan rakyat.

Komunikasi yang baik adalah yang mempunyai elemen hubungan dua hala dan bermatlamat. Mahasiswa perlu mempunyai sikap sebegini. Proses pembentukan mahasiswa berbudi pekerti mestilah digilap dan dibentuk sejak sekian lama. Universiti adalah tempat sesuai untuk proses pembentukan jati diri unggul.

Krisis moral dan ketandusan idea adalah musuh utama mahasiswa masa kini. Kes seks bebas, najis dadah dan jenayah kolar putih adalah wabak yang semakin membimbangkan. Begitu juga gelaran ‘mahasiswa lesu. Ini adalah manifestasi kegagalan mahasiswa untuk membentuk nilai keperibadian tinggi.

Penghayatan mendalam terhadap beberapa isu perlu digarap dan dihadam dengan penguasaan beberapa bidang ilmu. Mahasiswa perlu bersikap dinamik dan progresif. Sebagai contoh, isu perpaduan nasional adalah suatu isu perdebatan yang hangat sekarang ini. Apakah puncanya? Bagaimana untuk mengatasinya?

Setakat hari ini, belum ada persatuan mahasiswa menyuarakan pendapat mereka. Mereka masih lagi belum menjiwai isu nasional seperti ini. Lebih membimbangkan, mahasiswa bagaikan belum bersedia menghadapi isu masyarakat.

Kita tidak mahu mahasiswa yang dilahirkan hanya hebat di dunia pembelajaran, mempunyai nilai gred tinggi dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

Tanggungjawab pembinaan sebuah negara yang maju dan masyarakat berilmu masih belum selesai. Tugas ini hanya boleh dilakukan dengan semangat cintakan negara. Tambahan pula, mahasiswa diberi peluang memilih pemimpin dan pembentukan sebuah negara melalui pilihan raya.

Zamri Sarji, Pembantu Pegawai Tadbir Centre for Foundation Studies Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Pahang

Berita Harian X