Ahad, 19 April 2020 | 6:27pm
- Gambar hiasan. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
- Gambar hiasan. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

GLC perlu ada elemen masyarakat

Akhir-akhir ini, ketika tumpuan kita seharusnya kepada usaha mengekang dan memutuskan rantaian COVID-19, terselit pula isu politik.

Ia adalah isu lantikan politik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang sebenarnya bukan isu baharu kerana sudah berdekad disaksikan.

Namun, sesetengah pemimpin parti pembangkang melihat ada ruang untuk menyerang kepemimpinan kerajaan, terus melontar kritikan dan lupa apa manifesto pilihan raya yang dikemukakan mereka kepada rakyat, kira-kira dua tahun lalu.

Imbau kembali manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang tertulis sebagai Janji 22 dalam Buku Harapan, menyebut ‘kerajaan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, bukan berdasarkan kaitan politik mereka’.

Namun, hanya beberapa bulan selepas berjaya mendapat mandat, pemimpin parti dalam pakatan berkenaan, sama ada yang berjawatan besar atau kecil dibawa masuk sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC.

Selepas kembali menjadi pembangkang, mereka pula yang melontarkan kritikan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semua tahu adalah kerjasama baharu politik yang tidak pernah secara rasmi menggariskan manisfesto mereka seperti Janji 22 disenaraikan PH pada 2018.

Persoalannya wajar atau tidak melantik orang politik ke dalam GLC? Secara peribadi, saya melihat pelantikan itu adalah wajar, salah satu faktor adalah kerana ia boleh menjadikan GLC berkenaan lebih bertanggungjawab.

Bagaimanapun, tidak perlulah GLC itu dikuasai atau dimonopoli oleh orang politik, mungkin sekadar satu atau orang sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah yang tidak mempunyai kuasa mutlak dan mereka juga perlu benar-benar layak.

Konsepnya sama seperti pelantikan anggota Kabinet apabila ada desakan supaya Jemaah Menteri dianggotai ahli korporat atau teknokrat profesional. Boleh dilantik satu atau dua profesional yang tiada kaitan politik sebagai menteri, bukan majoriti kerana sesebuah kerajaan perlu ada kehendak politik atau 'political will'.

Saya juga berpendapat, orang politik diperlukan dalam GLC untuk menyelaras entiti berkenaan agar selari dengan dasar kerajaan kerana hala tuju GLC bukan sekadar keuntungan, tetapi mesti juga ada kehendak politik yang berteraskan kepentingan rakyat.

Kehadiran lantikan politik dapat mengimbangi kehendak korporat yang lebih cenderung berorientasikan keuntungan. Perlu ada 'elemen masyarakat' di dalam operasi GLC bagi menjaga kepentingan kerajaan kerana teknokrat biasanya tidak mempedulikan keperluan unsur politik dalam operasi atau perniagaan.

Saya berikan satu contoh, jika sesebuah GLC itu begitu berkesan dalam perniagaannya dan keuntungan tidak pernah gagal dicapai, tetapi tanpa kehendak politik, keuntungan itu tidak akan memberi manfaat kepada rakyat dan akan hanya berlegar dalam syarikat atau akaun-akaun perniagaan.

Faktor lain mewajarkan lantikan politik dalam GLC ialah jika keputusan sesuatu GLC yang pemegang taruhnya adalah rakyat dibuat atas kepentingan perniagaan semata-mata, ia boleh menghadirkan imej buruk untuk kerajaan.

Contohnya, GLC utiliti seperti elektrik dan air mahu menaikkan tarif, mungkin akan terus membuat keputusan menaikkannya jika keuntungan menjadi asas. Namun, jika ada orang politik dalam syarikat itu, keputusan akan mengambil kira juga apa kesannya kepada rakyat jika bebanan kewangan mereka bertambah.

Semua tahu, sudah menjadi sifat semula jadi rata-rata orang politik lebih sensitif dengan kehendak masyarakat, berbeza dengan orang korporat yang pastinya lebih mengutamakan keuntungan.

Justeru, saya berpendirian tidak salah melantik orang politik ke dalam GLC dengan syarat mereka yang dilantik itu jangan pula menyalahgunakan kuasa untuk tujuan politik sempit atau mempunyai niat menjadikan kroni kaya dengan cara tidak sepatutnya atau menganiaya orang lain yang lebih layak.

Lagipun, lantikan politik boleh pada bila-bila masa sahaja dipecat jika GLC yang dipengerusikan mereka atau jika mereka sebagai ahli lembaga pengarah, tidak melakukan yang terbaik untuk rakyat. Mereka boleh dipecat oleh kerajaan atau oleh rakyat sendiri bila tiba pilihan raya.

Kesimpulannya, saya berpendapat perlu ada elemen politik dalam GLC, apatah lagi 'G' dalam akronim berkenaan bermaksud 'government' atau kerajaan dan kerajaan pula berkhidmat untuk rakyat, sama seperti orang politik.

Putri Zaiton Khushairi, Puchong, Selangor

Berita Harian X