Jumaat, 1 Mei 2020 | 6:25am
Patuhi PKP sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19. - NSTP/Aswadi Alias
Patuhi PKP sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19. - NSTP/Aswadi Alias

Pentingkan diri punca ingkar PKP

KETIKA menyampaikan ucapan khas sempena Ramadan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei. Ia fasa keempat pelaksanaan PKP dan tidak mustahil akan dilanjutkan selagi penularan COVID-19 masih dikesan.

Secara dasar, PKP membawa maksud pematuhan arahan duduk di rumah, penjarakan sosial, pemakaian topeng muka ketika bergejala atau ketika di luar rumah, menjaga kebersihan diri serta beberapa langkah keselamatan dan kesihatan lain.

Namun amat dikesalkan, ada segelintir masyarakat masih mengambil ringan pematuhan PKP. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang biasa, malah golongan kenamaan, walaupun kerajaan mengumumkan denda dan hukuman penjara kepada sesiapa yang ingkar arahan itu.

Perkara ini berpunca daripada kurang disiplin diri, mempunyai sikap sambil lewa serta mementingkan diri sendiri. Mereka mengambil mudah dengan menganggap 'orang lain yang kena jangkitan, bukan saya.'

Kesedaran terhadap kepentingan mematuhi arahan PKP hanya akan dirasai apabila salah satu daripada tiga perkara ini berlaku kepada kita.

Pertama, apabila kita pernah positif COVID-19. Kedua, apabila ada ahli keluarga yang positif wabak ini dan akhir sekali, apabila ada antara orang kita sayangi berada di barisan hadapan menjalankan tugas memerangi wabak berkenaan.

Prinsip sama juga diutarakan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dalam ucapan beliau kepada rakyatnya pada 25 Mac lalu.

Beliau menyatakan: "If you have any questions about what you can and can't do and you're looking for answers, apply a simple principle; act like you have COVID-19. Every move you make could be a risk to someone else. That is how we all must collectively think now."

Dalam kata lain, dengan berpegang kepada prinsip ini, kita akan berasa penting untuk patuh arahan PKP supaya kita tidak membahayakan orang lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bertimbang rasa, mari sama-sama kita putuskan rantaian wabak ini dengan terus mematuhi PKP.

Jangan degil dan mementingkan diri. Fikirkanlah kesan sikap negatif kepada sosial dan ekonomi yang terjejas teruk jika PKP terpaksa diteruskan lagi.

Dr Azmi Abdul Latif,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X