Rabu, 27 Jun 2018 | 1:22pm
FOTO hiasan
DR Takdir Singh ketika berucap pada program Hari Tanpa Tembakau Sedunia. - Foto Saifullizan Tamadi

Wanita, kanak-kanak menderita kesan asap rokok

KUALA LUMPUR: Wanita dan kanak-kanak antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit bahaya kesan daripada pencemaran asap rokok daripada perokok tegar sekitar mereka.

Laporan kesihatan mendapati pencemaran asap rokok antara penyebab utama 80 peratus risiko serangan penyakit bahaya membabitkan golongan berkenaan.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Berhenti Merokok Tanglin, Dr Takdir Singh, berkata walaupun kedua-dua golongan ini bukan perokok, namun terdedah asap rokok terutama daripada perokok dalam kalangan ahli keluarga.

Pendedahan sedemikian kata beliau, memberikan kesan tidak baik kepada kesihatan terutama kanak-kanak dan wanita.

Mereka mendapat nikotin dan bahan kimia bertoksik dengan cara sama seperti perokok.

"Perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok, tetapi menghidu asap rokok orang lain mendapat musibah hingga menjejaskan kesihatan.

"Bayi dan kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat penyakit jangkitan telinga, lelah, jangkitan paru-paru dan bagi wanita pula boleh melemahkan kandungan.

Risiko penyakit bahaya

"Laporan mendapati walaupun wanita tidak merokok, tetapi jika seorang daripada ahli keluarga mereka masih mengamalkan tabiat itu, risiko mereka sekeluarga diserang penyakit bahaya tinggi.

"Masalah paling ketara kelahiran bayi pramatang disebabkan pendedahan asap rokok oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan daripada bapa atau ahli keluarga lain yang merokok," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hari Tanpa Tembakau Sedunia, di sini, baru-baru ini. Sempena hari berkenaan, Pusat Perubatan Prince Court menganjurkan program Bebas Puntung Rokok WEWE yang menggalakkan perokok mengikuti aktiviti khusus untuk berhenti merokok.

Beliau berkata, inisiatif itu diharapkan supaya lebih ramai perokok mengambil bahagian memandangkan setakat ini kesedaran individu hendak berhenti merokok meningkat kira-kira 30 peratus.

Sekurang-kurangnya beliau berkata, tiga perokok didaftarkan setiap bulan dan purata tujuh perokok berhasrat membuang tabiat berkenaan mendaftarkan diri setiap klinik kesihatan di negara ini.

Pelbagaikan aktiviti kesedaran

"Program kesedaran berhenti merokok seharusnya dilakukan dengan lebih giat dan mempelbagaikan aktiviti bagi menggalakkan lebih ramai melakukannya," katanya.

Kata Dr Takdir, sokongan dan bimbingan keluarga dapat menguatkan semangat perokok untuk berhenti.

"Anda juga boleh mendapatkan sokongan daripada forum dalam talian yang turut disertai oleh orang lain yang berhasrat berhenti merokok.

"Cuba lebih terbuka berkongsi pengalaman dengan individu yang sudah berhenti merokok selain menyertai teman turut mempunyai usaha sama dengan anda," katanya.

Info:

Amalan merokok

* Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati amalan merokok membimbangkan.

* 22.8 peratus (4,991,458) individu berusia 15 tahun ke atas adalah perokok.

* Lelaki 43 peratus

* Wanita 1.4 peratus

* 1 daripada 10 penduduk berusia 13 hingga 17 tahun merokok.

* Perokok dalam kalangan pelajar lelaki 33.2 peratus.

* Penggunaan rokok tanpa asap e-cigarette meningkat 1.0 peratus pada 2011 kepada 21 peratus pada 2015.

* Setiap seorang daripada tiga pelajar lelaki merokok sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

* Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 600,000 kematian setiap tahun akibat terdedah kepada asap rokok.

* 28 peratus daripada jumlah berkenaan adalah kanak-kanak.

Berita Harian X