Jumaat, 17 Ogos 2018 | 7:35am
DR Mohamed Ibrahim pada majlis taklimat rawatan imunoterapi yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Rohanis Shukri
DR Mohamed Ibrahim pada majlis taklimat rawatan imunoterapi yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Rohanis Shukri

Pesakit kanser tahap 4 masih berpeluang hidup

KUALA LUMPUR: Anggapan mendakwa wanita sering berhadapan kesan trauma dan hilang motivasi, sebaik disahkan menghidap penyakit bahaya antaranya kanser tidak tepat.

Sebaliknya mereka dilihat sebagai golongan yang kuat dan bersedia berhadapan sebarang kemungkinan, termasuk segera menjalani rawatan sebaik mendapat nasihat pakar.

Menyedari pentingnya semangat untuk terus sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa, seorang pesara, Ke Koh, 79, berkata sebaik disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat, beliau bertemu pakar untuk menjalani prosedur rawatan terbaik.

Beliau berkata, usaha itu menolak tanggapan masyarakat secara umumnya menganggap pesakit kanser tahap empat tidak ada harapan meneruskan hidup.

Golongan ini dikatakan hanya menanti saat kematian.

Katanya, mangsa terutama wanita pula perlu mendapatkan pandangan suami atau orang terdekat sebelum meneruskan rawatan.

Dapatkan rawatan segera

“Sebelum memulakan rawatan, ambil kira pelbagai kemungkinan antaranya kesan sampingan, kos rawatan dan juga keberkesanannya.

Berkongsi pengalaman itu, Koh yang juga bekas guru Bahasa Inggeris berkata, dia yakin rawatan segera perlu bagi mengelak serangan terus melarat.

“Saya memilih menjalani rawatan prosedur imunoterapi sejak November tahun lalu.

“Rawatan sekali setiap tiga minggu sangat berkesan, kerana tidak meninggalkan kesan sampingan berbanding prosedur kemoterapi.

“Satu-satunya kesan sampingan yang dihadapi adalah keletihan, mungkin kerana terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan ini,” katanya yang juga pernah disahkan mengalami barah payudara tahap satu pada 2000.

Koh berkata, rawatan ini membolehkan beliau kembali kuat melakukan kerja rumah seperti menyapu dan membersihkan lantai.

Berbeza kesan sampingan rawatan kemoterapi yang pernah dijalani beliau, menyebabkan kulitnya kering dan gatal sehingga mengganggu waktu tidur, selain kuku kaki serta tangan berdarah secara tiba-tiba.

“Pesakit barah perlu percaya dengan rawatan bagi mendapatkan kesan yang baik, berbanding mendengar cakap orang yang hanya mencadangkan pelbagai rawatan alternatif.

“Tidak semua rawatan alternatif sesuai kepada setiap individu, khuatir boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya yang menasihatkan pesakit lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat rawatan imunoterapi yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Perunding Onkologi Klinikal, Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid dan Pengarah Urusan Roche Malaysia, Lance Duan.

Keupayaan Koh menjalani rawatan walaupun diserang kanser tahap empat membuktikan setiap pesakit, terutama wanita perlu bersemangat menjalani apa sahaja rawatan yang disarankan oleh pakar.

Kaedah rawatan terkini memberi sinar baharu kepada pesakit, bagi membolehkan mereka berusaha menerusi kaedah rawatan imunoterapi.

Imunoterapi pilihan sesuai

Prosedur imunoterapi menggunakan atezolizumab, berupaya memanjangkan jangka hayat pesakit kanser paru-paru.

Bagi menampung kos rawatan, Roche Malaysia menerusi Program Bantuan Pesakit Roche memberikan subsidi perubatan membantu pesakit menanggung kos keseluruhan.

Bantuan diperkenalkan sejak 2007 dan sehingga kini sudah dinikmati seramai 5,000 pesakit seluruh negara.

Sementara itu, Perunding Onkologi Klinikal, Dr Mohamed Ibrahim, berkata rawatan imunoterapi memberikan pilihan sesuai kerana kurang kesan sampingan.

Beliau berkata, kadar kematian disebabkan barah paru-paru tinggi dengan 1.6 juta maut dan 1.8 juta dikenal pasti menghidap penyakit itu di seluruh dunia.

“Kemajuan ini walaupun kecil dalam merawat barah paru-paru, namun berupaya menyelamatkan nyawa pesakit.

“Menerusi kaedah ini, penghidap barah tahap empat boleh hidup enam sehingga tujuh tahun lagi,” katanya.

Di Malaysia, kira-kira 75 sehingga 88 peratus kes didiagnosis pada tahap tiga dan empat.

Pada tahap ini, rawatan hanya diberikan bagi mengawal tumor atau mengurangkan ketidakselesaan.

Kadar kelangsungan hidup pesakit barah paru-paru kekal rendah pada 15 peratus berbanding barah lain, sebagai contoh barah paru-paru 83 sehingga 92 peratus.

Kajian global mendapati, atezolizumab membantu pesakit hidup 4.2 bulan lebih panjang berbanding mereka di dalam kumpulan ubat lama (docetaxel), selain memberikan tindak balas anti tumor tahan lama kepada pesakit selama 16.3 bulan.

Berita Harian X