Ahad, 16 Julai 2017 | 12:01am

Pulau Pinang kejutkan Melaka United

PEMAIN Pulau Pinang Faiz Subri (dua, kiri) menewaskan penjaga gol Melaka United Mohd Fazli Paat pada perlawanan Bola Sepak Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, malam ini. Kedudukan separuh masa pertama Melaka dan Pulau Pinang 1-1. - Foto BERNAMA

MELAKA: Langkah Melaka United (MU) merombak besar-besaran skuad terbabit sempena jendela perpindahan masih belum menampakkan hasil selepas tewas 2-3 kepada Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira kira 8,000 penyokong setia, tuan rumah yang turun dengan misi memperbaiki kedudukan di zon penyingkiran ke Liga Perdana mencemaskan pelawat menerusi percubaan Fauzi Roslan pada minit kedua namun tersasar.

Bagaimanapun Pulau Pinang lebih awal membuka jaringan menerusi penerima anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri seawal minit kelima menewaskan penjaga gol Mohd Fazli Paat.

Gol terbabit jelas mengejutkan tuan rumah yang bingkas memperkemas corak permainan namun percubaan Jeon Woo Young minit ke-12 dan tandukannya dua minit selepas itu sekadar tinggi melepasi palang gol pelawat.

Ketika giat mengasak, Pulau Pinang hampir menambah jaringan menerusi Nigel Dabinyaba pada minit ke-16 namun sepakan derasnya tersasar ke kanan gawang MU.

Pencarian jaringan Sang Kancil akhirnya menjelma selepas Marco Simic merembat kencang sepakan penalti pada minit ke-36 selepas Khair Muhammad Jefri Jones dijatuhkan Brandon Mcdonald dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, usaha menambah jaringan sebelum rehat gagal diterjemahkan Simic pada minit ke-42 selepas rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Amirul Asyraf Suhaidi dan tolakan Woo Young pada minit ke-45 tersasar.

Sebaliknya pelawat berjaya menambah jaringan pada minit ke-54 menerusi sepakan cantik Mark Hartmann untuk gol kedua diikuti tujuh minit selepas itu menerusi tandukan S Kumaahran meletakkan kedudukan 3-1.

Gol sagu hati Simic pada minit ke-89 hasil sepakan penalti selepas S Surendran dijatuhkan tetap gagal mengubah kekalahan MU di laman sendiri.

Berita Harian X