Ahad, 16 Julai 2017 | 1:09pm

Man United mudah belasah LA Galaxy


PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford diasak pemain Los Angeles Galaxy dalam aksi sulung siri jelajah pra musim di Amerika Syarikat, Los Angeles, sebentar tadi. - Foto AFP

LOS ANGELES: Marcus Rashford menjaringkan dua gol bagi membantu Manchester United melakar kemenangan 5-2 ke atas Los Angeles Galaxy dalam aksi sulung siri jelajah pra musim di Amerika Syarikat, di sini, sebentar tadi.

Dengan pemain yang baru ditandatangani, Romelu Lukaku diletakkan di bangku simpanan, penyerang England, Rashford memberi mesej jelas kepada pengurus, Jose Mourinho dengan aksi bertenaga yang dipamerkannya.

Rashford membuka tirai jaringan selepas perlawanan bermula dua minit hasil kesilapan daripada Ariel Lassiter berhampiran kotak penalti Galaxy sekali gus mengatasi penjaga gol lawan, Jon Kempin.

Pemain berusia 19 tahun itu kemudiannya meledak gol kedua pada minit ke-20 selepas menyempurnakan umpanan cantik daripada Juan Mata.

Marouane Fellaini meletakkan United semakin selesa di depan apabila menjaringkan gol ketiga lima minit kemudian.

Mourinho melakukan pertukaran hampir seluruh kesebelasan utamanya di babak kedua dan memberi penampilan pertama kepada Lukaku yang dibeli daripada Everton awal minggu ini.

United meraih gol keempat pada minit ke-67 menerusi jaringan Henrikh Mkhitaryan sebelum Martial meledak gol kelima lima minit kemudian.

Dua gol Galaxy diperoleh menerusi Giovani Dos Santos pada ke-79 dan 88. - AFP

1784 dibaca
Berita Harian X