Selasa, 18 Julai 2017 | 7:38pm
PEMAIN PKNP FC Gilberto Valdenesio diasak pemain Negeri Sembilan Muhammad Nizam (kanan) pada perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia 2017 di Stadium Proton Tanjung Malim hari ini. Keputusan separuh masa pertama 0-0.- Foto BERNAMA

Valdenesio buat NS gigit jari

TANJONG MALIM: Penyerang PKNP FC, Gilberto Valdenesio menjadi duri dalam daging buat Negeri Sembilan apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan berstatus kelab itu meraih kemenangan 2-0 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Proton City, sebentar tadi.

Keputusan yang diraih anak buah Abu Bakar Fadzim itu membolehkan PKNP FC kekal menerajui Kumpulan A dengan tujuh mata dan sebarang keputusan perlawanan antara T-Team dan Pahang, malam ini tetap tidak mampu menggugat penguasaan mereka selaku pendahulu kumpulan.

Kemenangan itu turut membolehkan mereka melunaskan dendam kekalahan 3-1 kepada skuad kendalian Asri Ninggal itu dalam aksi Liga Perdana, 3 Februari lalu.

Aksi berhati-hati menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, namun mimpi ngeri juara Piala Malaysia tiga kali itu bermula ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir dengan Valdenesio meletakkan PKNP di depan apabila melakukan penyudah kemas pada minit ke-83.

Ketika Negeri Sembilan cuba mengasak untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata, penyerang kelahiran Brazil itu melenyapkan kebangkitan skuad Hobin Jang Hobin dengan meledak gol kedua pada minit kedua masa kecederaan.

Kekalahan ini menyaksikan Negeri Sembilan terus kempunan untuk meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir sehingga tercicir status selaku pendahulu Liga Perdana.

Berita Harian X